Hadi Paling Kerap Bertemu Ulama Syiah – Mat Sabu

Kuala Lumpur – Tindakan sesetengah pihak melabelkan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai Syiah hanya kerana mengadakan pertemuan dengan pemimpin dari golongan itu, harus ditolak, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

 

Ini kerana, katanya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merupakan orang yang paling banyak bertemu ulama Syiah, memandangkan beliau menganggotai Jawatankuasa Takrib Minal Mazhab (Merapatkan Hubungan Antara Mazhab) yang diasaskan Iran.

 

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, di kalangan tokoh PAS, Hadi paling kerap bertemu ulama Syiah terutama ulama besar Iran, Ayatollah Mohammad Ali Taskhiri.

 

“Hadi mempunyai hubungan yang baik dengan Tashkiri, bahkan Ali Khamenei (Sayyed Ali Hosseini Khamenei, pemimpin utama Iran),” kata bekas timbalan presiden PAS itu kepada The Malaysian Insider.

 

“Mereka sering bertemu di majlis terbuka dan juga majlis tertutup. Tiada pula orang tuduh Hadi sebagai Syiah,” kata Mat Sabu.

 

Beliau menjawab kenyataan yang melabelkan penasihat utama Amanah, Ahmad Awang dan timbalannya Abdul Ghani Shamsudin, sebagai Syiah, kerana dikatakan sering bertemu ulama daripada kumpulan itu.

 

Tuduhan itu dibuat sesetengah pihak berdasarkan gambar kedua-duanya bersama ulama Syiah baru-baru ini.

 

Mat Sabu berkata, Hadi sekurang-kurangnya akan bertemu dengan pemimpin Syiah Iran setahun sekali untuk bermesyuarat.

 

“Ketika dalam PAS, saya pernah bersama (Hadi). Bahkan Nasrudin Hassan (ketua penerangan PAS) juga kadang-kadang mengiringi presiden PAS itu ke sana.

 

“Selain wakil PAS, ulama dari Ikhwanul Muslimin juga ada,” kata Mat Sabu.

 

Selain Takrib, Hadi juga bertemu ulama Syiah dalam Jawatankuasa Palestin yang juga dianjurkan Iran dan mengadakan persidangannya di Tehran.

 

Menurut Mat Sabu, beliau sudah lali dengan pelbagai tuduhan, termasuk sebagai Syiah dan juga bapa komunis, ekoran pertemuan beliau dengan pemimpin mereka.

 

“Ada yang tuduh saya bapa komunis hanya kerana saya jumpa Rashid Maidin dan membela Mat Indera. Ini tak betul,” katanya merujuk bekas pemimpin komunis.

 

“Kita boleh kritik presiden PAS kerana kenyataan dia, pendapat dia dan seumpamanya, bukan kerana dia bertemu dengan siapa, dan terus menghukumnya,” kata Mat Sabu. – TMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.