‘Dia Cubit Saya Depan Orang Ramai’, Warkah Terakhir Tunku Abdul Jalil

“Dari kecil sampai sekarang, kalau nak ketawakan sesuatu mesti dia akan cubit saya dulu. Kalau pernah nampak dia cubit saya depan orang ramai …adalah tu dia nak sampaikan. Cuba teka siapa?,”tulis Almarhum Tunku Abdul Jalil menerusi laman instagramnya.

 

Difahamkan, itulah tulisan terakhir Almarhum yang memuat naik kapsyen gambar di zaman kanak-kanak bersama kekanda baginda, Tunku Idris, jam 11.03 pagi, pada 30 November lalu.

 

Pemergian Tunku Abdul Jalil sangat terkesan dan dirasai kerabat DiRaja Johor itu sehingga kekandanya, Tunku Idris nekad mengosongkan posting dilaman instagramnya sebagai tanda berkabung. Putera Temenggong Johor itu hanya meninggalkan satu posting gambar yang sama dimuat naik Almarhum, bertanda ‘MY BROTHER MY HERO’.

 

Manakala, kekandanya, Tunku Tun Aminah juga turut memuat naik sekeping gambar bersama Almarhum dengan menuliskan posting ‘dari Dia kita datang dan dari Dia kita dikembalikan’ beserta kapsyen ‘Alfatihah’.

 

Sementara itu, Tunku Panglima, putera kelima, Tunku Abdul Rahman juga memuatnaik gambarnya bersama Almarhum dengan kapsyen ‘Alfatihah’ di laman instagram milik baginda.

 

Terdahulu, Almarhum Tunku Abdul Jalil terkenal sebagai seorang yang merendah diri dan begitu dekat dengan rakyat. Baginda merupakan anak keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

 

Almarhum dilahirkan di Johor Bahru pada 5 Julai 1990 dan kemudian dinobatkan sebagai Tunku Laksamana Johor di Muar pada 2012 oleh ayahandanya, Sultan Ibrahim sempena sambutan ulang tahun kelahiran Sultan Johor.

 

Putera raja itu ditauliahkan sebagai inspektor polis dan memegang jawatan itu dalam Ketua Kakitangan Diraja Istana Johor pada Oktober lalu.

 

Almarhum merupakan kerabat diraja Johor pertama yang berkhidmat dalam pasukan polis selepas menamatkan kursus latihan kepolisan selama sembilan bulan.

 

Selain itu, Almarhum, selaku pengerusi syarikat kapal layar Innovatige Sdn Bhd yang menganjurkan perlumbaan Piala Monsun, turut memainkan peranan penting dalam membangunkan sukan itu.

 

Menerusi program Liga Layar Malaysia dan program Belia Belayar pada 2013 yang diperkenalkan, baginda turut memberi peluang kepada beribu-ribu belia yang tidak berkemampuan tentang pelayaran dan memperoleh pengalaman dalam sukan kapal layar.

 

Atas sumbangan Almarhum terhadap pembangunan sukan kapal layar, baginda pernah menerima Anugerah Pembangunan Presiden 2014 daripada Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) tahun lepas.

 

Almarhum yang didiagnosis menghidap kanser tahap empat pada 20 Ogos lalu dilaporkan kerap menjalani rawatan di hospital luar negara akibat jangkitan berulang terhadap kanser yang dihidapi baginda.

 

Malah, satu portal berita tempatan pernah melaporkan Almarhum menghidap kanser hati tahap empat dan kondisi kesihatannya adalah sangat kritikal.

 

Tidak ketinggalan, peminat bola sepak negeri tersebut juga turut memasang kain rentang yang bertulis hashtag #PrayForTunkuJalil di sebuah pagar dalam perlawanan tempatan pasukan JDT sebagai tanda sokongan serta mendoakan kesihatan putera keempat itu.

 

Susulan itu, di stesen radio tempatan BestFM dan JohorFM turut memutarkan bacaan ayat suci ketika menjelang waktu maghrib menerusi siaran program harian stesen berkenaan dan menjadi satu kemestian menghadiahkannya kepada Almarhum.

 

Penubuhan sebuah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor juga tidak dilupakan bagi membantu pesakit kanser dan ia turut dinamakan bersempena nama Almarhum.-SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.