Wang Lesap, Ahli Perniagaan Rugi RM266 ribu

Ampang – Gara-gara percaya, seorang ahli perniagaan wanita yang bergelar Datuk mengalami kerugian RM266,300, selepas lelaki yang dikenali sebagai Rathi hilang bersama wangnya, sejak September tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Suhana berkata, dia berkenalan dengan Rathi, 50-an melalui seorang rakannya yang dikatakan mempunyai ramai kenalan di agensi kerajaan.

“Pada waktu itu, saya merancang membuka perniagaan khazanah lama dan keris. Disebabkan dia ada ramai kenalan, saya menerima tawarannya untuk membantu.

“Sejak perniagaan saya dimulakan pada Julai tahun lalu, dia meminta wang secara tunai, dengan alasan untuk membayar pihak kementerian yang terlibat dalam usaha untuk meletakkan perusahaan saya di dalam kempen dan promosi Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya yang turut membuat laporan kepada Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Melaysia (LKPJM).

Wanita berusia 60 tahun itu berkata, dia mula menyedari wang yang diberikannya itu tidak membuahkan sebarang hasil dan meminta Rathi memulangkan wang tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, Rathi enggan menyerahkan wang itu, walaupun diberikan tempoh enam bulan.

“Pada Oktober tahun lalu, saya ada membuat laporan polis, tetapi ditarik balik, kerana dia mengugut akan menembak saya.

“Bimbang dengan keselamatan dan wang yang masih belum dipulangkan, saya sekali lagi membuat laporan polis pada Mei lalu dan mahukan pihak polis mengambil tindakan mencarinya,” katanya.

Dia berharap Rathi dapat ditahan dan wang syarikatnya serta beberapa barangan peribadinya, seperti geran kereta, geran tanah, beberapa bilah keris, dulang tembaga dan lesen perniagaan dapat dikembalikan.

Suhana berkata, dia kesal dengan kejadian ini, kerana sebelum ini dia pernah dipukau dan kerugian ribuan ringgit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.