UMNO Digesa Ambil Tindakan Tegas Terhadap Ahli ‘Parasit’

Kuala Lumpur – Pemimpin tertinggi Umno digesa bertindak tegas terhadap ahlinya yang menjadi parasit dan “gunting dalam lipatan” sehingga menjejaskan imej parti, kata Umno Bahagian Petaling Jaya Utara (PJU).

Timbalan Ketua Umno PJU, Mohd Azli Mohd Saad berkata, kumpulan parasit itu sering memburukkan parti sendiri seolah-olah Umno berada dalam kedudukan yang lemah.

“‎Kita minta kepimpinan parti tegas dalam hal ini.

“Dah tengok banyak kali terjadi. Bila dah dapat jawatan tertinggi tak puas hati masuk parti sebelah kemudian hentam kita balik,” katanya kepada pemberita di Bangunan Umno Shah Alam, hari ini.

Sebelum itu, kira-kira 10 ahli Umno Bahagian PJU dikatakan mahu mengadakan demontrasi depan Bangunan Umno dan keluar parti beramai-ramai.

Kumpulan itu dakwa Azli didalangi Setiausaha Cawangan Umno Damansara Dalam‎ yang mahu mengemukakan tujuh sebab mahu keluar parti dan meggantung kain rentang di lapan lokasi sekitar bandar Selangor termasuk Kelana Jaya dan Shah Alam.

Namun, kumpulan itu tidak muncul ‎sebaliknya hanya ahli Gerakan Solidariti Selangor hadir memberi kenyataan balas terhadap tindakan kumpulan itu.

Katanya, ini bukan kali pertama ahli Umno veteran terbabit bertindak mengugut keluar parti tetapi tiga kali atas alasan remeh dan permintaan yang tidak dipenuhi, antaranya merajuk kerana tidak diberi peruntukan agihan lembu Hari Raya Aidil Adha.

“Dia kalah bertanding AJK Bahagian juga ugut nak keluar parti,” katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian PJU Amir Syukor berkata, Umno perlu bertegas dalam hal ini dan menasihatkan ahli veteran supaya tidak memberi persepsi buruk terhadap pelapis muda dengan bertindak keluar parti.

“Kenapa letak kain rentang untuk memalukan Umno? Dalam jangka panjang ini bukan tradisi sihat dan harap ia tidak berlaku di Bahagian lain,” katanya.

Ketua Pemuda Umno PJU Mohd Fakhzan Md Noor berkata, ini merupakan kes terpencil yang hanya melibatkan kurang 1% daripada lebih 10,000 jumlah seluruh keahlian Umno Bahagian itu, malah tidak melibatkan pemimpin berjawatan tinggi.

“Kalau dia nak keluar parti, tak perlu jejakkan kaki ke bangunan Umno.

“Kalau nak malukan parti, tak perlu buat sidang media di bangunan Umno, pergi tempat lain.

“Pendirian Pemuda mana-mana pihak nak jadi gunting dalam lipatan kita akan halang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.