Rasuah: Malaysia Di landasan Yang Betul – Paul Low

Usaha berterusan kerajaan dalam memerangi gejala rasuah di negara telah menunjukkan hasil yang positif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Kata Low, berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2014 yang diumumkan Transparency International (TI) baru-baru ini jelas Malaysia berada di landasan yang betul apabila menunjukkan peningkatan ketara daripada skor 50 pada 2013 kepada skor 52 pada 2014.

Malah, kata Low berdasarkan ranking yang dikeluarkan, terdapat perbezaan ketara diantara Malaysia dan negara-negara Asia Pasifik yang secara purata mendapat mendapat skor 43 dan negara berjaya mendapat melompat daripada kedudukan 53 pada tahun 2013 kepada 50 pada tahun 2014.

“Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menggunakan skor TI CPI sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara untuk mengukur prestasinya dalam usaha membanteras rasuah dan menambah baik tadbir urus,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi meneruskan usaha tersebut, kata Low kerajaan komited untuk terus melaksanakan semua pembaharuan yang peru sama ada dari segi struktur organisani mahupun operasi.

Tegasnya, pembaharuan demi pembaharuan ini akan dilakukan secara berterusan bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada sehingga kesannya dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.

“Keberkesanan hasil langkah-langkah ini akan lebih dirasai pada bulan-bulan mendatang pada 2015,” kata Low.

Selain itu, kata Low pihaknya turut akan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan melaksanakan pembaharuan institusi mampan dalam pentadbiran ke arah tadbir urus yang lebih baik dan integriti di mana ia akan dilaksanakan di setiap kementerian dan agensi.

Jelasnya, semua pemegang kepentingan terutama dalam sektor perniagaan dan politik perlu menyokong secara aktif usaha kerajaan dan tidak hanya mengharapkan kerajaan untuk membendung gejala itu.

“Usaha memerangi rasuah dan menambah baik tadbir urus adalah penting kerana ia memberi kesan kepada daya saing negara dan daya tarikan ke arah pelaburan langsung asing.

“Ia juga mengukuhkan asas negara ketika Malaysia menuju ke arah mencapai status sebagai negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.