Pelantikan Baharu MAS Sedia Asas Kukuh Kejayaan Syarikat – Najib

Kuala Lumpur – Pelantikan yang diumumkan oleh Khazanah Nasional Bhd dalam penstrukturan semula Malaysia Airlines Systems Bhd (MAS) hari ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyediakan asas kukuh bagi kejayaan syarikat penerbangan nasional itu pada masa depan, kata Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Penting bagi kita mempunyai pakar terbaik yang memiliki kepakaran dan pengalaman untuk membantu memacu usaha penstrukturan semula terus ke hadapan, memimpin syarikat penerbangan mencatat keuntungan, dan membimbing pengganti daripada rakyat Malaysia untuk mengambil alih kepimpinan syarikat penerbangan tersebut pada masa depan,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Pelantikan tersebut, diumumkan hari ini, dibincangkan dan diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah yang dipengerusikan oleh Najib semalam.

Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk melihat kejayaan sepenuhnya pemulihan MAS.

Khazanah melantik Christoph R. Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo), berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.

Mueller, yang ketika ini merupakan CEO Aer Lingus Plc, syarikat penerbangan nasional Ireland, juga akan dicalonkan menyertai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.

Dana pelaburan strategik kerajaan itu turut mencalonkan Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly menyertai Lembaga Pengarah MAS sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.

Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata Lembaga Pengarah Khazanah dalam perbincangannya mengambil kira keadaan kritikal penstrukturan semula MAS, yang memerlukan kepakaran pengurusan penerbangan terbaik, khususnya, mereka yang mempunyai rekod pencapaian yang kukuh dalam memulihkan syarikat penerbangan negara.

“Pencarian global yang meluas dilaksanakan meliputi tenaga kerja rakyat Malaysia dan antarabangsa,” kata Azman.

Beliau berkata Mueller merupakan calon terbaik dan mempunyai dua tugas yang sama penting: memimpin pemulihan syarikat penerbangan nasional dan membangunkan pengganti tempatan.

Sementara itu, Azman berkata pelantikan Shazalli menyertai Lembaga Pengarah MAS juga akan membawa kepakaran dan pengalaman yang luas dalam banyak bidang, termasuk pemasaran, penjenamaan dan pemulihan korporat.
Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/pelantikan-baharu-mas-sedia-asas-kukuh-kejayaan-syarikat-najib-49796?cp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.