PAS Berpecah Kepada 3 Kumpulan

Tahun 2014 disifatkan akhbar arus perdana tahun paling memalukan dalam sejarah PAS kerana kemelut dalaman parti Islam itu sehingga berpecah kepada tiga puak, selain tewas pilihan raya kecil (PRK) ekoran “Langkah Kajang” ciptaan PKR.

Berita Harian dalam ruangan rencana berkata, tahun 2014 adalah “annus horibilis” (tahun yang teruk) kerana sebahagian besar kemelut dalaman berpunca dari krisis menteri besar Selangor menyebabkan terbentuknya tiga kumpulan dalam PAS.

Kumpulan A ialah pengikut Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar.

Kumpulan B pula, menurut akhbar itu, ialah “Anwarinas”, diketuai Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Manakala kumpulan C ialah mereka dengan dua keahlian, iaitu ahli PAS yang juga menganggotai kumpulan PasMa bagi mengekalkan ikatan politik dengan PKR dan DAP sekiranya Hadi tarik diri daripada Pakatan Rakyat (PR).

“Team A tegas dengan prinsip perjuangan asal PAS dan mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan sebagai langkah awal kepada penubuhan Negara Berkebajikan.

“Walaupun sudah buang dokumen 53 muka surat yang diterbitkan 13 tahun lalu yang menyatakan gagasan penubuhan sebuah Negara Islam, Team A tidak juga berpegang kepada Buku Jingga,” kata penulis, Juhaidi Yeah Abdullah, hari ini.

Katanya, penyokong Hadi mendakwa ada bukti wujud komplot mensabotaj imej dan menjatuhkan presiden dan puak ulama, dan Hadi menggelarkan mereka sebagai “nyamuk” dan “pengkhianat”.

Namun, ini disangkal kumpulan B yang pada waktu sama semakin rapat dengan idealisme PKR dan DAP sehingga sanggup mencabar keputusan presiden, mengabaikan bai’ah dan keluar jemaah PAS untuk bersama PKR-DAP ketika krisis MB Selangor.

“Kemungkinan besar kumpulan B tidak perlu tunggu lama untuk mengambil alih kepimpinan parti kerana pemimpin kumpulan A seperti Hadi, Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Haron Din sudah tua dan uzur, silih berganti masuk hospital.

“Beberapa tokoh Team A seperti Datuk Harun dan Datuk Abu Bakar Chik sudah meninggal dunia,” katanya, dipercayai merujuk Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang meninggal dunia Januari lepas.

Katanya, kumpulan C bertambah renggang daripada kumpulan A memandangkan pemimpinnya, pengerusi PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi, tidak lagi rapat dengan Hadi atau mendengar nasihatnya.

Juhaidi berkata, dengan sokongan kumpulan B, kumpulan C meneruskan siri ceramah seluruh negara dan meluaskan cawangan PasMa termasuk 100 di Terengganu.

Mengulas Muktamar PAS di Johor pada September lalu, Berita Harian menyifatkannya sebagai antara paling buruk sehingga pengerusi tetap Pemuda PAS dibawa ke hospital.

Begitu juga dengan ucapan Mohamad, atau Mat Sabu, yang diboikot perwakilan, pemimpin tertinggi parti disindir dan tiada resolusi konkrit yang terhasil.

Akibatnya, katanya, PAS ditolak pengundi di PRK Pengkalan Kubor Oktober lalu dan calonnya kalah teruk.

“Aliran penolakan pengundi Melayu-Islam terutama luar bandar jelas dalam pilihan raya umum ke-13 tahun lalu. Ramai tokoh utama PAS yang bertanding di kawasan luar bandar tumbang.

“PAS juga sempat memerintah Kedah hanya sepenggal kerana perpecahan dalaman menjatuhkan pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.