Geng Mages Mahsing Tumpas

Kuala Lumpur – Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun bersenjata dan satu kes bunuh di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan dengan tertangkapnya 10 anggota Geng Mages Mahsing.

Suspek berumur antara 19 tahun dan 44 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan di Port Dickson, Rawang dan Shah Alam pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Mohd Yusof Awang dalam satu sidang media berkata polis kini sedang memburu seorang lagi anggota geng itu yang dikenali sebagai D Kumaran, 27, yang masih bebas.

Beliau berkata kumpulan itu dikesan bergiat aktif melakukan samun dan bertindak ganas terhadap mangsa di kawasan Sepang, Klang, Rawang, Kuala Kubu Baharu dan Port Dickson.

“Mereka tidak teragak-agak mencederakan mangsa, ada yang dilibas dengan parang panjang,” katanya.

Menghuraikan kegiatan kumpulan itu, Mohd Yusof berkata anggotanya dikatakan bersembunyi di sebuah kandang lembu di Kg Cina Bukit Pelandok, Port Dickson selepas terlibat dalam kes pembunuhan di Shah Alam pada Oktober lepas.

Ketika persembunyian itu, mereka juga dikesan aktif menyamun di kawasan Sepang bulan lepas dan dipercayai terlibat dalam empat kes samun bersenjata di kawasan itu.

“Hasil risikan, polis menyerbu tempat persembunyian mereka di sebuah kandang lembu di Kg Cina Bukit Pelandok pada pukul 5.15 pagi Selasa dan memberkas lima suspek yang sedang tidur.

“Polis turut merampas beberapa parang panjang, telefon bimbit, komputer riba, penimbang dadah dan sebuah Proton Perdana V6 yang dipercayai dicuri.

“Pemeriksaan terhadap kereta Proton Perdana itu menemui antara lain topeng muka, sarung tangan, parang panjang dan pisau lipat,” katanya.

Susulan itu, enam jam kemudian pihak polis menyerbu sebuah rumah di Taman Perdana, Rawang dan menangkap empat lagi suspek.

Mohd Yusof berkata dalam serbuan itu, polis merampas Perodua Alza yang digunakan dalam majlis perarakan perkahwinan seorang abang suspek yang dipercayai disamun di Klang.

Penahanan suspek membawa kepada penemuan sebuah lagi kereta curi jenis Toyota Avanza di Taman Harmoni, Banting pada hari yang sama, katanya.

Beliau berkata pada Rabu pula, polis menahan seorang lagi suspek di sebuah kawasan rumah pangsa di Shah Alam dan turut menemui sebuah kereta Toyota Camry yang disamun.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu.

Beliau berkata lima daripada suspek didapati positif Methapetamine.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.