Akta Hasutan Untuk Menjaga Keamanan Dan Kestabilan Negara – Anifah

Kuala Lumpur – Keputusan kerajaan mengekalkan dan mengukuhkan Akta Hasutan 1948 dibuat untuk memelihara keamanan dan kestabilan Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai bangsa dan budaya.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata menjadi kewajipan kerajaan untuk mempertahankan pertumbuhan dan kemakmuran negara selain daripada menjaga kebajikan rakyatnya.

“Justeru, undang-undang sesuai diperlukan untuk menangani isu yang boleh menyebabkan ketegangan kaum dan agama serta mengekang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian yang dinikmati semua rakyat Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan Jumaat.

Anifah berkata kerajaan yakin bahawa akta berkenaan akan melindungi kepentingan setiap rakyat Malaysia dan diperlukan untuk mencegah ekstremisme kaum dan agama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Akta Hasutan dikekalkan dan diperkukuhkan lagi dengan peruntukan tambahan pada bulan lepas.

Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dilaporkan telah melahirkan kebimbangannya terhadap penggunaan akta itu oleh Kerajaan Malaysia terhadap pihak pembangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.