ATM Sedia Buka Kem Untuk Mangsa Banjir Di Pahang

KUANTAN, 5 Dis (Bernama) — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membuka kem-kem tentera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di Pahang.

Panglima Tentera Darat Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yakoob yang meminta kem di Batu 10, Kuantan dan Kem Pasukan Gerakan Am, Galing dibuka ekoran situasi banjir di negeri itu semakin buruk.

Beliau berkata selain menjimatkan kos, ia juga akan memudahkan anggota tentera menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke kem terlibat.

“Di sini lebih selesa dan lebih mudah bagi pihak tentera menyediakan segala kemudahan termasuk bantuan makanan.

“Dalam kem, kita ada dapur yang lebih besar untuk memasak makanan kepada mangsa yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Bukit Rangin di sini hari ini.

Sejak semalam, seramai 2,825 orang mangsa banjir daripada 1,300 buah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan itu.

Dalam perkembangan lain, Raja Mohamed berkata kira-kira 600 anggota ATM telah dikerahkan bagi operasi menyelamat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

“Kita juga meletakkan anggota dalam keadaan berjaga-jaga dan cuti mereka dibekukan buat sementara waktu bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan segera kepada mangsa banjir sekiranya situasi menjadi buruk,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.