KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua.
Anwar berkata, Malaysia sedia untuk bekerjasama dan bergerak ke hadapan bersama Amerika Syarikat.
Pun begitu, Anwar juga menggesa AS untuk menggunakan pengaruhnya yang besar untuk membantu menamatkan keganasan yang dahsyat dan kehilangan nyawa di Palestin dan Ukraine.
“Tahniah kepada Donald Trump atas kemunculan semula politik dan kemenangannya yang luar biasa dalam pilihan raya presiden AS.
“Lembaran ini membawa peluang baharu, dan Malaysia bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan keyakinan, kerjasama dan tujuan bersama,” ucap Anwar dalam kenyataan media pada Rabu.
Ujar Anwar lagi, Amerika Syarikat kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia Pasifik.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berharap AS akan menghidupkan semula penglibatannya dengan Asia Tenggara.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan presiden yang akan datang untuk memupuk faedah bersama untuk rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar.