Zakir Naik Beri Temboh 48 Jam, Tuntut Adun DAP Minta Maaf

PETALING JAYA – Penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik menghantar notis tuntutan kepada Satees Muniandy dengan mendakwa Adun Bagan Dalam itu memfitnahnya dalam satu kenyataan disiarkan oleh FMT semalam.

Peguamnya, Akberdin Abdul Kader berkata anak guamnya menuntut Satees membuat permohonan maaf tanpa syarat di media sosial dalam tempoh 48 jam.

“Dia harus mengaku liabiliti dan menarik balik semua tuduhan yang dibuat terhadap anak guam kami,” kata notis itu seperti yang dilihat oleh FMT.

Akberdin juga menawarkan satu penyelesaian munasabah kepada Satees terhadap kerosakan, perbuatan memalukan dan penghinaan terhadap Zakir Naik akibat difitnah.

Peguam itu berkata Satees, yang merupakan setiausaha antarabangsa Pemuda DAP, mesti segera mengeluarkan dan tidak lagi menerbitkan apa-apa dakwaan yang memfitnah Naik di semua media sosial dan media lain.

Notis itu merujuk kepada laporan FMT bertajuk “Zakir Naik punca tindakan keras terhadap LTTE, kata Pemuda DAP”.

Akberdin berkata, laporan itu mencadangkan bahawa Naik telah memujuk pihak berkuasa Malaysia melalui pintu belakang supaya mengambil tindakan keras terhadap penyokong kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) bagi mengalihkan perhatian terhadap isu mengaitkan pendakwah tersebut.

“Laporan itu turut mendakwa bahawa anak guam kami adalah arkitek dan perancang utama dalam penangkapan penyokong LTTE,” katanya.

Notis itu berkata laporan itu telah mencemarkan imej Zakir Naik, menyebabkannya rasa malu selain menimbulkan ketegangan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga membahayakan keselamatannya sendiri.

Akberdin berkata saman fitnah akan difailkan terhadap Satees sekiranya permintaan anak guamnya itu tidak dilaksanakan.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.