LTTE: Tuduhan Dirangka Jabatan Peguam Negara, Mungkin Alasan Teknikal Tuduhan Dibatalkan – KPN

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk membatalkan pertuduhan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke atas seorang wakil rakyat berpunca daripada isu teknikal atau keperluan undang-undang.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ketika ini pihaknya masih menunggu perincian lanjut daripada pihak berkaitan berhubung kes pendakwaan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran.

“Saya belum dapat alasan (mengenai keputusan mahkamah itu) mungkin ada alasan tertentu. Semua tuduhan diambil ke atas 12 tahanan (berkaitan kes LTTE) dirangka Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti yang polis kemukakan dalam kertas siasatan.

“(Keputusan mahkamah itu) perkara biasa, saya tidak syak apa-apa mungkin ada sebab tertentu seperti masalah teknikal atau keperluan undang-undang,” katanya.

Berita Berkaitan;

Mahkamah Sesyen Seremban pagi tadi membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas ADUN Seremban Jaya.

Mengenai isu Zakir Naik, Abdul Hamid berkata pihaknya masih menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara.

“Kita tunggu arahan daripada pihak terbabit. Semuanya (kertas siasatan) sudah diserahkan kepada mereka.

“Setakat ini, kita belum menerima arahan lanjut,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, penceramah bebas, Dr Zakir Naik memberi keterangan kali kedua kepada polis di Bukit Aman berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan.

Zakir dalam ceramahnya pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.