Ambil Inspirasi Fotografi Mat Salleh, Nampak ‘Rare’ Bergambar Di Kubur Kristian – Pemilik Butik

Media sosial digemparkan dengan gambar-gambar pengantin beraksi di tanah perkuburan bukan Islam sehingga membangkitkan kemarahan warganet.

Berbaju songket tradisional pengantin, lengkap dengan tiara dan veil, seorang wanita dilihat memegang sejambak bunga putih sambil pelbagai aksinya dirakam termasuklah ‘pose’ duduk di tepi kubur.

Rata-rata warganet menyifatkan sesi penggambaran itu adalah keterlaluan dan tidak peka dengan sensitiviti masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Perasaan hormat langsung tak ada. Orang sekarang nak famous sanggup buat apa saja… tak fikir sensitiviti. Banyak lagi tempat lawa, nak juga pergi kubur. Otak cair betul,” tulis seorang warganet.

“Lawa macam mana pun perkuburan tu, janganlah pergi ambil gambar di sana. Tiada respek betul pada kematian dan agama,” ujar seorang lagi netizen, antara yang berang dengan gambar-gambar pengantin yang tular itu.

Bercakap kepada mStar, pemilik butik pengantin berkenaan, Nur Amirah Mohd Amiruddin tampil menjelaskan perkara sebenar berhubung kontroversi gambar di tanah perkuburan bukan Islam itu.

Wanita berusia 26 tahun itu memberitahu, sesi penggambaran di tanah perkuburan Kristian di Batu Pahat, Johor Ahad lalu melibatkan beberapa model dan bukan pengantin sebenar.

“Kami membuat sesi penggambaran itu sekadar suka-suka untuk menimba pengalaman dalam mencari gambar-gambar rare yang lain daripada lain.

“Asalnya kami nak buat tema gothic tapi tak ada baju yang sesuai. Jadi, kami hanya meneruskannya dengan menggunakan baju-baju pengantin untuk menjimatkan kos,” katanya kepada mStar.

Mengenai pemilihan tanah perkuburan Kristian sebagai lokasi penggambaran, Nur Amirah yang baru mengusahakan butik pada bulan lalu itu mengambil inspirasi dari luar negara.

“Bagi saya, ambil gambar dalam hutan, di tepi sungai atau pantai tu dah jadi kebiasaan. Saya mahu cari kelainan, lari daripada kebiasaan.

“Menerusi carian di internet, banyak gambar model pengantin dari luar negara di kawasan perkuburan. Jadi, saya ambil inspirasi daripada Mat Salleh yang buat fotografi macam tu. Kubur-kubur mereka pun nampak cantik untuk dijadikan lokasi penggambaran,” tambahnya.

Nur Amirah yang menetap di Kluang, Johor itu bagaimanapun menjelaskan bahawa gambar-gambar tersebut diambil untuk tujuan koleksi peribadi dan bukannya sebagai strategi pemasaran.

Menurutnya, gambar-gambar tersebut dimuatnaik di laman sosial peribadi miliknya tetapi diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga ia menjadi tular.

Walaupun tiada niat untuk menghina kawasan perkuburan bukan Islam, dia akur apabila dikatakan tindakannya itu tidak sensitif dengan masyarakat Malaysia yang terdiri pelbagai bangsa dan agama.

“Sehubungan itu, saya membuat permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia pelbagai lapisan masyarakat di atas tindakan saya itu. Saya akui kesilapan yang telah dilakukan.

“Apa yang saya lakukan itu sekadar mencari pengalaman baharu untuk menampilkan kelainan, dan ia tiada kaitan dengan sama ada hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

“Saya mohon maaf dan memberi jaminan untuk tidak mengulangi kejadian seperti itu. Saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” ujar Nur Amirah.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.