PSM Tuntut PH Tunai Janji Pendidikan Percuma dan Mansuh PTPTN

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dituntut menunaikan janji untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat di negara ini.

Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath berkata, parti itu kini dalam proses untuk menggerakkan semua suara dalam memperjuangkan pendidikan percuma kepada rakyat.

“Pemuda PSM kini dalam proses untuk bawa semua suara dari 90an sampai tahun ini yang memperjuangkan pendidikan percuma utk kembalikan laungan mansuh PTPTN seperti mana tahun 2012 sehingga kerajaan BN terpaksa potong kadar bunga dari 4.0 peratus ke 1 peratus.

“Pakatan ketika itu janji mansuh total,” katanya di Twitter beliau.

Sejak 2010, PSM giat memperjuangkan prinsip pendidikan percuma dan menggesa kerajaan supaya segera memansuhkan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) demi memberikan pendidikan percuma kepada pelajar.

Kenyataan yang dibuat Khalid itu menerima sokongan netizen.

Ada di antara mereka mendakwa sudah mual dengan janji-janji yang ditabur PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“For those yang ikuti perkembangan politik, sejak dulu lagi memang Pakatan janji nak bagi pendidikan percuma. Bila dah menang ni dia punya belit menjilat2 ludah sdr,” respon @citizen14884.

Isu PTPTN semakin hangat diperkatakan dan ditempelak banyak pihak.

Antara bekas aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim yang tidak puas hati setelah PH memutuskan peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikenakan membayar balik pinjaman pada gaji RM1,000 sebulan.

Ia berbeza dengan kenyataan Menteri Kewangan, Dr Maszlee Malik pada Mei lalu yang memaklumkan kementeriannya akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.