Kerajaan Digesa Kaji Semula Keputusan Potong Gaji Peminjam PTPTN – ABIM

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengkaji semula pelaksanaan pemotongan gaji secara automatik bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi National (PTPTN) yang berpendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata dasar baharu itu membebankan anak muda yang mahu memulakan kehidupan pasca bergelar graduan.

Katanya, kerajaan perlu lebih sensitif dalam menangani isu peminjam PTPTN secara cermat dan berhikmah, selaras dasar mereformasikan institusi dalam era Malaysia Baharu.

“ABIM menyarankan kajian secara mendalam serta holistik dibuat bagi memahami punca sebenar kenapa masih ramai peminjam yang belum membuat bayaran kepada PTPTN.

“Bagi menggalakkan pembayaran hutang, ABIM menggesa pihak kerajaan menghapuskan sistem ujrah PTPTN, memandangkan ia dilihat menjadi beban hutang tambahan kepada peminjam, di mana ia boleh mencecah ribuan ringgit.

“Selagi kerajaan belum menyediakan peluang pekerjaan lebih banyak, memastikan gaji permulaan lebih baik dan mengenalpasti masalah sebenar peminjam, tidak seharusnya secara mudah menghukum secara pukul rata terhadap semua peminjam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Muhammad Faisal berkata, kerajaan perlu mengambil kira faktor kemiskinan bandar serta komitmen tinggi yang perlu dihadapi oleh anak muda dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, selain peningkatan kos sara hidup dalam menentukan kaedah pembayaran semula hutang PTPTN.

Selain itu, katanya, soal peningkatan jumlah golongan muda yang muflis juga perlu diberi perhatian serius, sebelum sebarang kaedah bayaran balik PTPTN dilaksanakan.

“ABIM juga menyeru kerajaan menunaikan manifesto mereka yang diumumkan pada 8 Mac lalu di Shah Alam, iaitu tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan RM4,000 sebulan.

“Langkah lain, kerajaan boleh menyerap kos tertentu ditanggung mahasiswa di universiti dan kolej kediaman, sebagai langkah mengurangkan bebanan hutang PTPTN kepada mahasiswa.

“Subsidi makanan dan lain-lain akan membolehkan kos sara hidup mahasiswa di kampus tidak tinggi, lalu tidak memerlukan pembiayaan yang tinggi,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.