38 Aduan Naik Harga Selepas SST

SUNGAI PETANI – Sebanyak 38 aduan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 1 September lalu direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah, R. Summugam berkata lima daripada aduan itu telahpun diberikan notis tunjuk sebab di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 oleh pihak penguatkuasa KPDNHEP negeri.

“Jumlah premis yang diperiksa setakat ini ialah 1,826 premis dan jumlah item barangan yang diperiksa pula ialah sebanyak 43,950 item termasuk telur beras, (tepung) gandum dan gula,” katanya pada pemberita di sambutan rumah terbuka Hari Deepavali anjurannya di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Sungai Petani merangkap Adun Gurun Datuk Johari Abdul.

Summugam berkata, notis itu memerlukan peniaga memberikan maklum balas dan penjelasan terperinci tentang kenaikan harga berkenaan bagi menentukan sama ada berlakunya elemen pencatutan ataupun tidak.

“Maklum balas yang pihak kita terima daripada peniaga itu akan dianalisa dan jika didapati ada unsur pencatutan maka peniaga berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu penguatkuasa KPDNHEP Kedah akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada peniaga di negeri ini mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati selepas pelaksanaan SST. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.