Piala Malaysia Didedikasi Buat Allahyarham Datuk Suleiman Kata TMJ

JOHOR BAHRU – Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi didedikasikan kepada Bapa Bola Sepak Johor, Allahyarham Datuk Suleiman Mohd. Noor.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kemenangan itu sebagai janji beliau kepada allahyarham untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor, lapor Utusan.

Menurut pemilik Kelab Bolasepak JDT itu, Suleiman merupakan individu yang pernah membawa pasukan Johor memenangi Piala Malaysia 26 tahun lalu, iaitu pada tahun 1991.

“Kesetiaan adalah apabila kita meneruskan legasi seseorang bukan hanya ketika mereka masih ada, tetapi juga meneruskan legasi itu ketika mereka sudah tiada lagi di dunia ini.

“Saya dedikasikan piala ini kepada arwah Dato’ Suleiman Mohd. Noor yang baru meninggal dunia pada 7 Ogos yang lalu,” katanya dalam Facebook JOHOR Southern Tigers.

Tunku Ismail berkata, walaupun Piala Malaysia bukan keutamaan, tetapi kejayaan itu satu pencapaian dan ingin mendedikasikan piala itu kepada allahyarham bagi mengenang jasanya selaku Bapa Bola Sepak Johor.

Pada masa sama, beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua penyokong serta keluarga JDT, para pemain, pegawai dan pengurusan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.