Kelantan Derma RM50,000, Hantar Sukarelawan Ke Pulau Pinang

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan pimpinan PAS mendermakan sejumlah RM50,000 sebagai bantuan segera kepada Pulau Pinang yang kini berdepan dengan banjir kilat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri juga turut menghantar sukarelawan bagi menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan ke negeri itu.

“Pagi tadi saya menerima berita berkenaan keadaan banjir di Pulau Pinang yang semakin membimbangkan. Melalui kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, didapati ada pusat-pusat pemindahan banjir yang terputus bekalan elektrik.

“Dalam situasi sebegini, saya menyeru semua pihak agar dapat membantu mangsa-mangsa banjir di sana dengan mengenepikan sebarang sentimen politik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam lapor Bernama.

Beliau turut mendoakan supaya keadaan banjir bertambah pulih.

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga 1 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak 2 petang semalam dan hujan berlarutan hingga 5 pagi ini.

Hampir 2,000 mangsa banjir ketika ini ditempatkan di 50 pusat pemindahan banjir di lima daerah di negeri itu hingga 12 tengah hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.