Ahmad Zahid Lawat Mangsa Banjir Di Pulau Pinang

GEORGETOWN – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Pulau Pinang pagi tadi bagi meninjau kawasan bencana yang dilanda banjir.

Ahmad Zahid mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat Butterworth jam 9.30 pagi.

Beliau disambut oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim .

Guan Eng dilihat memeluk Ahmad Zahid, sejurus Timbalan Perdana Menteri turun dari helikopter.

Kemudian mereka bergegas ke beberapa kawasan bencana yang disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah Pulau Pinang.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri dan berperanan sebagai pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai bencana negara kemudian melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Guar Perahu di kawasan Parlimen Permatang Pauh yang menempatkan seramai 365 mangsa banjir.

Beliau berkesempatan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di situ sambil bertanyakan sama ada kemudahan yang disediakan di pusat pemindahan mencukupi.

Ahmad Zahid kemudian melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Padang Menora di kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan Sekolah Kebangsaan Bertam Indah di kawasan Parlimen Kepala Batas.

Hampir keseluruhan Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak pukul 2 petang Khamis yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, banjir di Pulau Pinang telah meragut tujuh nyawa. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.