Adun DAP Mogok Lapar Tanda Protes Terhadap Kerajaan Pulau Pinang

ADUN Tanjung Bungah Tan Yee Cheu dari parti DAP bermogok lapar selama 12 jam sebagai tanda protes terhadap tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 11 nyawa di kawasannya serta tragedi banjir melanda seluruh Pulau Pinang baru-baru ini.

“Saya lakukan ini demi 11 mangsa yang meninggal dunia dalam tanah runtuh Tanjung Bungah pada 21 Oktober dan tujuh orang yang kehilangan nyawa semasa banjir besar pada 4 dan 5 November,” ujarnya dipetik portal berita.

Ditemui di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yee Cheu berkata mogok laparnya bermula dari jam 7 pagi tadi sehingga 7 petang hari ini.

Yee Cheu antara ADUN DAP yang paling lantang menentang sebarang pembangunan lereng bukit di Pulau Pinang.

Beliau juga pernah menghantar bantahan terhadap pembinaan perumahan strata di lereng bukit Tanjung Bungah yang bertukar menjadi tragedi tanah runtuh baru-baru ini.

Sehubungan kegagalannya menghalang pembangunan serta kejahilan kerajaan negeri terhadap alam sekitar, Yee Cheu pada 21 Oktober lepas memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua rakyat Pulau Pinang kerana kerajaan negeri tidak menyedari kemungkinan kecuaian, walaupun amat berhati-hati,” ujarnya.

Beliau sekali lagi menggesa agar kerajaan DAP Pulau Pinang menghentikan projek kediaman di lereng bukit Tanjung Bungah sehingga menemui penyelesaian selamat. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.