35,000 Pelajar Dapat Manfaat Program Tuisyen HELP – Nazir Hussin

KUALA LUMPUR – Program Tuisyen HELP yang dimulakan sejak empat tahun lalu sehingga kini telah memberi manfaat kepada lebih 35,000 pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah di seluruh negara.

Program tuisyen yang dianjurkan Pemuda UMNO menerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) sejak 2014 itu turut dijayakan dengan kerjasama Yayasan Al-Hussin dan MARA.

Kajian yang dilakukan untuk menilai keberkesanan program tuisyen tersebut, mendapati wujud peningkatan ketara antara 70 hingga 80 peratus bagi lima mata pelajaran teras SPM.

Pengerusi HELP Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, ekoran peningkatan itu terdapat sekolah yang meminta untuk menambah kemasukan pelajar dalam program tuisyen tersebut.

“Saya kira kejayaan menerusi program ini disebabkan ia memberikan fokus kepada pecutan akhir untuk menduduki SPM dan teknik menjawab soalan.

“Malah, slot motivasi diadakan turut membantu membakar semangat mereka menduduki peperiksaan,” katanya, dipetik dari laporan BH Online.

Mengulas lanjut perjalanan program tuisyen itu, Nazir Hussin berkata setiap pelajar yang terpilih mengikut tuisyen perlu belajar sehingga 100 jam kelas tambahan dalam tempoh 10 bulan sebelum SPM berlangsung.

“Elemen kerohanian, termasuk bacaan Yasin dan motivasi oleh pakar dalam bidang berkenaan turut diadakan,” katanya.

Bercakap mengenai idea asal penganjuran program itu, Nazir menjelaskan, kajian HELP menunjukkan cara yang paling berkesan untuk keluar dari kepompong kemiskinan adalah melalui kejayaan dalam pelajaran.

“Kami berharap, selepas peserta program ini selesai menduduki SPM apapun keputusan mereka dapat, jadikan kami sebagai rujukan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat lebih tinggi.

“Datang kepada kami kerana di bawah MARA, kami memiliki kira-kira 32 institusi untuk mereka menyambung pengajian dalam pelbagai peringkat, termasuk sijil, diploma dan ijazah,” ujarnya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.