Presiden Korea Selatan Dituntut Letak Jawatan

SEOUL 5 Nov. – Kira-kira 40,000 penunjuk perasaan berhimpun di jalan-jalan di bandar ini bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye berikutan skandal rasuah.

 
Para penunjuk perasaan menjerit dan membawa sepanduk mendesak Geun-Hye berundur sehari selepas pemimpin wanita itu memohon maaf secara terbuka berikutan skandal yang berlaku menghakis kepercayaan rakyat itu terhadap kepimpinannya.

 
Seramai 20,000 anggota polis mengawal para penunjuk pe­rasaan yang berhimpun di pusat bandar Seoul.
Pihak polis menghalang para penunjuk perasaan berarak di jalan raya kerana bimbang akan menyebabkan berlakunya ke­sesakan lalu lintas tetapi membenarkan beribu-ribu penunjuk pe­rasaan untuk berhimpun.

 
Para penunjuk perasaan juga tidak dibenarkan berarak ke kedia­man rasmi presiden, Blue House.

 
Dalam permohonan maaf yang disiarkan oleh televisyen negara itu semalam, Geun-Hye menyebut ‘semua salah saya’ ketika merujuk, skandal yang membabitkan rakan lamanya, Choi Soon-Sil itu tetapi menafikan laporan yang mereka terlibat dalam kumpulan agama.

 
Populariti Geun-Hye menjunam lima peratus minggu ini, penilaian paling rendah berbanding presiden yang pernah menerajui negara itu.

 
Siasatan rasmi kini tertumpu kepada tuduhan ke atas Soon-Sil, 60, yang didakwa mempergunakan hubungan rapat dengan Geun-Hye untuk memaksa firma-firma tempatan memberikan sejumlah besar sumbangan kepada sebuah yayasan yang digunakan untuk tujuan peribadi.

 
Wanita itu ditahan pada hari Khamis lalu atas tuduhan rasuah dan menyalah gunakan kuasa namun kemarahan orang ramai lebih tertumpu kepada tuduhan campur tangan wanita itu dalam hal ehwal negara terma­suk sehingga memperoleh dokumen-dokumen sulit tanpa tidak memegang jawatan rasmi dan kebenaran keselamatan.

 
Dalam usaha mengembalikan semula kepercayaan orang ramai terhadap pentadbirannya, Geun-Hye merombak Kabinetnya termasuk menteri-menteri dan penasihat kanan dengan membawa masuk tokoh-tokoh dari luar partinya, Parti Saenuri.

 
Namun begitu, Geun-Hye dikatakan tidak akan berundur dan para penganalisa meramalkan wanita itu akan `berjuang sehingga ke akhir’ penggal walaupun pemerintahannya semakin lemah dalam keadaan ekonomi yang lembab, peningkatan pengangguran dan ketegangan tentera dengan Korea Utara. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.