Malaysia Tingkatkan Hubungan Pertahanan Amerika, China – Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Malaysia telah mengesahkan meneruskan hubungan pertahanan yang kukuh dengan dua kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat (Amerika) dan China.

 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata komitmen itu diberi ketika beliau menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya, Setiausaha Pertahanan Amerika Ashton Carter dan Menteri Pertahanan China yang juga Penasihat Negara, Chang Wangquan di luar acara Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)-Campur hari ini.

 

“Dalam mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Carter, kami membincangkan pelbagai perkara berkaitan hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Amerika.

 

“Perbincangan dengan Jeneral Chang adalah mengenai isu-isu kepentingan strategik bagi kedua-dua negara serta isu semasa dan trend berbangkit dalam landskap keselamatan global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau berkata kedua-dua mesyuarat dua hala itu juga turut membincangkan mengenai kepentingan operasi terutama berkaitan kepentingan pembangunan kerjasama ketenteraan bagi kedua-dua negara.

 

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Amerika yang dikenali MALUS AMPHEX dijadual menjalani latihan hujung bulan ini di Sabah.

 

“Kami (Chang dan saya) juga mengakui kejayaan latihan ketenteraan yang pertama ‘Eksesais Keamanan dan Persahabatan’ antara ATM dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China pada September lepas,” kata Hishammuddin.

 

Terdahulu beliau menyertai Carter, melakukan lawatan ke kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt, yang kini berada di perairan antarabangsa di luar pantai Sabah dan kemudian melawat pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah.

 

Hishammuddin juga mempelawa Carter dan Chang untuk menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 yang akan diadakan pada 18 hingga 21 April tahun depan, di sini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.