Harimau Malaya Jumpa Palestin Di Amman, Jordan

KUALA LUMPUR – Jordan menjadi gelanggang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019, antara Palestin dan Malaysia yang dijadualkan pada 12 November ini.

 

Selain Malaysia, Palestin juga dijadualkan bertemu Arab Saudi di gelanggang sama di Amman, Jordan pada 9 November ini.

 

Ia selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin mengesahkan tuan rumah tidak mampu menganjurkan perlawanan di laman mereka sendiri atas sebab keselamatan.

 

Perlawanan Malaysia menentang Palestin pada awalnya dijadualkan di Stadium Dura, Hebron, kawasan yang diduduki rejim Israel.

 

Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) dilaporkan sudah bersetuju dengan penukaran venue terbabit. Presiden PFA, Jibril Rajoub dalam kenyataan dalam laman web FIFA berkata perlawanan itu akan diadakan di Stadium Bandaraya Sukan Raja Hussein, Jordan.

 

Begitupun, PFA dikatakan akan meminta penangguhan perlawanan bertemu Arab Saudi, Isnin ini atas alasan logistik dengan aksi bertemu Malaysia kekal mengikut jadual.

 

Malaysia sebelum ini dua kali menyerahkan surat permohonan kepada FIFA menerusi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk memohon supaya perlawanan itu dijalankan di gelanggang berkecuali.

 

Pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu, Malaysia yang ketika itu dibimbing bekas jurulatih, Dollah Salleh tewas 6-0 kepada Palestin.

 

Skuad Malaysia dibimbing jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee dijadualkan berlepas ke Jordan, malam ini. Tindakan Kim Swee membawa pasukan Harimau Malaya lebih awal adalah bagi proses penyesuaian pemain dengan gelanggang lawan yang dikatakan dijalankan dalam suhu yang sejuk. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.