Wardina Salahkan Pembikin Filem Dalam Kes Buli

Kuala Lumpur – Kes buli pelajar sekolah dirakam dalam telefon bimbit yang tersebar meluas menerusi laman sosial semalam menimbulkan kemarahan ramai pihak termasuk selebriti popular, Wardina Safiyyah yang tampil memberikan komen.

Menerusi Facebook selebriti itu, Wardina memuat naik status yang mendakwa kes buli berpunca daripada filem yang membawa kisah gangster dihasilkan pengarah tempatan.

“Kepada pembuat filem gangster ambillah sedikit tanggungjawab kerana memberi “inspirasi’ anak-anak MELAYU untuk membuli dan bertindak ala gangster. Cubalah letak tepi sikit kerakusan mahukan keuntungan semata. Kita semua tahu anda mahukan untung dan anda untung kerana ramai yang mahu menonton filem gangster anda. Demand and supply bukan?

“Jangan salahkan anda tapi salahkan penonton yang mahukannya? Tapi fikirlah sikit kesan pada MINDA anak bangsa kalau ada secuit pun rasa tanggungjawab dalam diri. Atau anda tak peduli kesannya. Mengotori minda anak muda kita tak apa? Kononnya ada “pengajaran” di hujung cerita?

“Realitinya tidak ada yang belajar dari penghujung cerita anda…yang kadang kala saya rasakan cuma diletakkan supaya tidaklah rasa ‘bersalah sangat’. Adalah alasan sebagai jawapan apabila ada yang bertanya kelak. Budak-budak ini, anak muda kita ini, cuma ingat sikap ala samseng dan gangster yang kononnya “hebat” dan “cool” itu …aduh…dilakonkan pula artis pujaan dan ternama. Anak muda mahu jadi seperti mereka. Bila ada peluang..nah keluarlah aksi yang telah dirakam dan disimpan dalam kepala. Jangan buat2 tak tahu,” katanya.

Aktor terkenal yang sering membawakan watak gangster, Datuk Rosyam Nor ketika dihubungi Malaysian Digest pula menyatakan isu berkenaan tidak boleh dipersalahkan kepada produser sepenuhnya yang berkarya bukan sekadar mengaut keuntungan.

“Kes buli bukan berlaku hari ini malah, filem berunsur gangster sudah banyak dihasilkan.

“Penonton hari ini yang menonton filem kisah gangster bukan dalam kalangan mereka yang bodoh yang tidak tahu menilai baik dan buruk.

“Sebaliknya, apa yang berlaku terhadap kes buli seperti ini adalah berpunca daripada pengaruh dalam diri masing-masing,” katanya.

Katanya, sikap mahu menonjol diri dalam kalangan rakan di sekolah mendorong kes buli terus berlaku.

“Walaupun sesuatu filem itu seolah menampilkan aksi ganas tetapi mengapa perkara yang baik tidak perkatakan,

“Saya tidak mahu terlalu memberi komen terhadap Wardina sebagai ustazah, sebaliknya biarlah dia berikan komen,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.