Sebolehnya Saya Elak Bersentuhan Dengan Lelaki – Umie Aida

Petaling Jaya – Semenjak mengambil keputusan mengenakan hijab sekitar Julai lalu, pelakon popular Datin Paduka Umie Aida, 40, bersikap seolah tidak mahu lagi muncul dalam lakonan di televisyen.

Sebaliknya, Umie menjelaskan bukan tiada tawaran diterima tetapi dia sebenarnya bersikap memilih.

“Ada tawaran seperti telefilem tapi saya terpaksa menolak kerana ia kurang sesuai dengan penampilan saya sekarang. Saya hanya terima tawaran dengan karakter betul-betul sesuai dan setakat ini belum ada lagi,” katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui dalam satu acara hiburan di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau tidak mahu melakonkan watak stereotaip dan meneliti tawaran lakonan yang diterima merujuk pada watak yang dikehendaki pengarah atau produksi.

“Sebolehnya, saya elak melakonkan watak bersentuhan dengan lelaki.

“Atas sebab itu, jika ada tawaran watak suami isteri, saya menolak secara baik kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi,” katanya.

Tambah Umie, beliau perlu menghormati suami dan anak yang sentiasa menyokongnya sejak mula berubah penampilan kepada bertudung sepenuhnya.

“Suami dan anak-anak saya menyokong penuh saya bertudung, jadi saya perlu menjaga perasaan mereka,” ujarnya.

Pelakon yang baru dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM26) menerusi filem Azazil (Sembunyi) ini menyatakan beliau tetap terus berlakon dan belum terfikir untuk bersara selain mengidam karakter lebih mencabar seperti bisu atau ibu tunggal yang berdepan kepayahan membesar anak.

“Setakat ini belum ada lagi tawaran sebegitu untuk saya.

“Tapi tengoklah nanti jika saya rindu sangat nak berlakon.

“Namun, saya rasa lebih baik menulis skrip sendiri dan menerbitkannya  atas faktor saya tahu apa yang saya mahu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Umie yang juga aktif menerbitkan teater kini dalam perancangan menerbitkan sebuah lagi teater muzikal yang dijangka akan dipentaskan di Istana Budaya sekitar tahun hadapan.

Namun, buat masa ini beliau tidak mahu bercerita lanjut mengenai projek tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.