Mufti Kelantan Selar Tindakan Bogelkan Pelajar Kerana Mencuri

Kota Bahru – Mufti Kelantan,  Datuk Muhamad Shukri Muhamad menyelar tindakan kariah Masjid Pauh Lima, Binjai, yang bertindak membogelkan seorang pelajar kerana mencuri.

“Kita tak boleh ambil tindakan sendiri yang menyimpang dari undang-undang negara dan hukuman tidak boleh diambil mengikut pandangan kita semata-mata.

“Islam sendiri menegah kita menelanjangkan keaiban seseorang walaupun orang itu melakukan kesalahan.

“Jadi tindakan diambil itu sangat tidak sesuai dan jauh daripada konsep Islam yang syumul,” katanya ketika dihubungi di sini, petang semalam.

Muhamad Shukri berkata, seseorang dianggap berdosa jika mengenakan hukuman dengan cara salah.

“Sebagai umat yang patuh, kita berpegang kepada akhlak Islam dan ini perlu sentiasa dipupuk dalam diri termasuk dalam setiap tindakan yang kita ambil.

“Orang mencuri, dia memang salah, tapi kita yang menahannya tidak boleh juga melakukan kesalahan. Telanjangkan dia, itu sudah dikira bersalah,” katanya.

Remaja tersebut disyaki mencuri motor, kini dikatakan sedang menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan kini ditahan reman.

Dia yang merupakan seorang pelajar tingkatan tiga dicederakan dan dibogel penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis di Masjid Pauh Lima, Binjai, di kejadian lemat malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, pelajar terbabit dikatakan cuba melarikan sebuah motosikal milik kariah masjid itu berusia 61 tahun yang dikatakan solat Isyak.

“Dia cuba mencuri motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam tetapi tidak berjaya dan ditahan orang ramai yang baru selesai solat sebelum dipukul dan dibogelkan.

“Akibatnya, remaja itu cedera di bahagian atas kepala dan lebam di belakang badan, tangan, bahu selain kaki.

“Dia menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan kini ditahan reman,” katanya di sini, tadi.

Lai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A/ 511 Kanun Keseksaan.

Sementara itu ahli jemaah, Masjid Mukim Pauh Lima menafikan mereka terlibat membogelkan seorang pelajar berusia 15 tahun yang cuba mencuri motosikal milik di masjid tersebut semalam.

Ahli jemaah masjid tersebut, Ariffin Nor, 60, mendakwa, perbuatan itu sebalik­nya dilakukan oleh penduduk setempat yang me­nangkap remaja terbabit.

Dakwanya, tindakan remaja itu juga sebenar­nya telah di­perhatikan oleh anggota sukarelawan keselamatan masjid yang bergilir-gilir membuat rondaan.

“Dua suspek terma­suk remaja berkenaan dikesan memberhentikan motosikal di luar kawasan masjid dan salah seorang daripada mereka masuk ke pekarangan masjid de­ngan membawa tukul dan sebatang besi pendek seperti pemutar skru sebelum mendekati sebuah motosikal milik jemaah.

“Gelagat remaja itu terus diperhatikan sehingga disergah apabila cuba untuk merosakkan panel kunci dan suis utama motosikal. Dia bertindak melarikan diri dan dikejar penduduk di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan di sini hari ini.

Ariffin berkata, remaja berkenaan membuka baju yang dipakai­nya ketika dicekup penduduk kira-kira 50 meter dari masjid berkenaan manakala rakannya telah melarikan diri.

Seorang lagi ahli jemaah, Harun Mat berkata, penduduk ketika itu berang apabila remaja terbabit enggan memaklumkan identiti sehingga menyebabkan mereka bertindak memukulnya.

“Remaja itu dibelasah sehingga berdarah selepas tangannya diikat dan dibogelkan di atas sebuah motosikal yang disaksikan oleh orang ramai yang memenuhi perkarangan masjid sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Anggota jemaah gagal berbuat apa-apa termasuk menghalang tindakan yang mengaibkan kerana ‘orang luar’ (bukan ahli jemaah) terlalu ramai dan kebanyakan mereka bersikap berang dengan tindakan remaja itu yang mencuri di dalam kawasan masjid,” katanya.

 

Baca: GAMBAR: Suspek Curi Motor Di Belasah Dan Bogelkan Jemaah Masjid

2 thoughts on “Mufti Kelantan Selar Tindakan Bogelkan Pelajar Kerana Mencuri

  • August 30, 2015 at 2:09 pm
    Permalink

    Ya tuhan, yang paling teruk sekali berhampiran dengan masjid pulak tu. Nabi Muhammad SAW tidak mengajar kita menghukum orang dengan membogelkan orang. Yang sangat 2 memalukan ialah ianya dilakukan oleh para2 jemaah islam yang bersembahyang. Mereka ini bertindak melebihi sebagai umat nabi, sedangkan nabi Muhammad saw tidak akan bertindak sedemikian dan disebabkan oleh mereka, umat islam makin dipandang sinis dan serong di mata dunia.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.