Mineral Dewa Hindu: NGO Buat Laporan Polis

Kuala Lumpur – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama beberapa lagi badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung penggunaan logo halal pada botol air mineral menggunakan gambar berhala sempena kempen tahun melawat Malaysia (Visit Malaysia 2014) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata laporan tersebut dibuat bertujuan bagi meminta pihak berkuasa menyiasat serta bertindak tegas dalam soal yang menyentuh sensitiviti agama Islam di Malaysia.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu orang awam terkeliru bagaimana logo halal yang mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh berada bersama gambar berhala.

Mineral Berhala

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Adakah kempen Visit Malaysia 2014 membenarkan perkara tersebut dilakukan dan selepas ini mungkin gambar gereja atau rumah ibadat lain pula yang akan dipaparkan.

“Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa Islam merupakan agama rasmi negara dan kita mahu semua pihak menghormatinya kerana kita bimbang apabila melibatkan berhala, akan timbul pemahaman ia melibatkan pemujaan dan sebagainya,” katanya.

Antara wakil NGO lain yang turut hadir ialah Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (PEWARIS), Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) dan Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa (IMCA).

Tambah Nadzim, pihaknya juga kesal kerana pengeluar air mineral berkenaan tidak mahu membuat permohonan maaf atas tindakan yang mereka lakukan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata logo halal tidak boleh digunakan pada produk yang dipromosikan sempena perayaan agama bukan Islam atau bersama lambang agama bukan Islam.

Menurutnya, tindakan syarikat yang menggunakan pembungkusan dengan imej yang berunsur ketuhanan adalah bertentangan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia di bawah Perkara 6.3 Pembungkusan dan Pelabelan.

“Jakim mengarahkan syarikat pengeluar produk air mineral berkenaan menukar pembungkusan tersebut bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

“Sekiranya syarikat itu enggan, tindakan penggantungan sijil Halal boleh dikenakan ke atas syarikat atas kesalahan yang bertentangan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia,” katanya. – Rakyat Post

 

Baca: Logo Halal Tidak Boleh Diguna Bersama Lambang Bukan Islam – JAKIM

 

Baca: Air Mineral Halal Ada Logo Berhala Hindu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.