Keluarkan Fatwa Bukan Kerja Main-Main – Sultan Selangor

Shah Alam – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menggesa masyarakat Islam di negeri ini tidak mempertikaikan sesuatu fatwa tanpa memahaminya dengan sepenuhnya.

“Sesuatu fakta bukan hanya boleh dibuat atau ditentukan oleh mufti sahaja tetapi ianya dibuat melalui Jawatankuasa Fatwa yang terdiri daripada alim ulama dan profesional yang mahir dalam bidang masing-masing, termasuk mereka yang dalam bidang perundangan.

“Mereka akan berbincang dengan menentukan sesuatu hukum setelah mengambil kira hukum-hukum dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab yang berkaitan.

“Sesuatu fatwa yang dibuat di negeri ini hanya akan menjadi sah setelah mendapat persetujuan dan perkenan beta,” demikian titah baginda semasa merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Dewan Jubli Perak, pagi ini.

Baginda bertitah demikian beberapa hari sebelum Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perasaan ragu-ragu terhadap fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung pengharaman sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Anwar berkata jawatankuasa berkenaan tidak seharusnya mengharamkan Sisters in Islam (SIS) jika tidak bersetuju dengan pendirian pertubuhan itu, sebaliknya perlu terus berbincang dalam mencari kata sepakat.

“Tentang fatwa, saya ada keraguan. Mereka boleh tidak bersetuju akan tetapi saya rasa mereka tidak seharusnya mengharamkan perbincangan.”

“Pendirian saya adalah seharusnya rakyat bersetuju untuk tidak bersetuju dan terus mengadakan perbincangan dan forum,” kata Anwar kepada pemberita selepas memberikan ucapan di majlis makan malam persidangan demokrat Islam (Muslim democrats’ conference) di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terdahulu, SIS diharamkan penubuhannya di Selangor kerana didakwa mempromosikan liberalisme agama dan pluralisme yang bercanggah dengan Islam.

Fatwa Selangor pada Julai 2014 menggazetkan SIS dan mana-maana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman “liberalisme” dan “pluralisme” agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Perkembangan itu menyaksikan SIS memfailkan ke mahkamah untuk mencabar pengharamannya.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mencadangkan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan pertemuan dengan SIS bagi meleraikan permasalahan itu.

Namun cadangan itu ditolak Tamyes berikutan kes itu sudah menjadi kes mahkamah dan mengelakkan prejudis.

Sultan Selangor selain itu bertitah masyarakat Islam perlu menolak sebarang pertelagahan sesama sendiri supaya maruah agama Islam tidak dipersenda oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Beta tidak mahu keamanan, perpaduan dan pembangunan yang telah kita bina dan pertahankan ini hancur atau dimusnahkan oleh mereka yang bersikap melampau hanya disebabkan kejahilan atau dipengaruhi hawa nafsu serta unsur-unsur ekstremis dari luar.

“Beta menyeru supaya umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah kita terhadap agama Islam yang suci,” demikian titah Baginda lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.