Guan Eng Juga Kerap Tidak Hadir Mesyuarat MPPR – Mustafa Ali

Kuala Lumpur – Sepanjang 2008, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng lebih banyak gagal hadirkan diri pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR), namun PAS tidak memperbesarkan isu itu, kata setiausaha parti itu, Datuk Mustafa Ali.

Justeru beliau mengingatkan Guan Eng agar tidak memperbesarkan isu ketidakhadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada mesyuarat MPPR sementelah Ahli Parlimen Marang itu menghantar wakil bagi pihaknya.

Mustafa menjelaskan, setakat ini tidak pernah berlaku sesuatu keputusan tidak dapat dibuat sekalipun mana-mana pemimpin PAS atau DAP tidak hadir ke mesyuarat.

“Perlu diingat, kerjasama dalam konteks tahaluf siyasi adalah antara parti dengan parti, bukan individu dengan individu.

“Jika secara perbandingan, sejak 2008 Guan Eng lebih banyak tak hadir ke mesyuarat PR berbanding Tuan Guru Abdul Hadi. Tetapi itu bukan isu besar.

“Antara yang selalu hadir ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar yang mempengerusikan mesyuarat, Lim Kit Siang sebagai wakil DAP dan saya sebagai wakil PAS. Tidak ada masalah,” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Menurut Mustafa lagi, pemimpin mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat termasuk Guan Eng sepatutnya berpegang kepada etika bahawa tidak boleh campur tangan dalam isu dalaman parti lain.

“Semua parti ada masalah dalaman. Tapi biar masing-masing parti selesaikan sendiri masalah mereka tanpa campur tangan luar.

“PAS sendiri tidak pernah campur tangan isu dalaman DAP. Saya minta Guan Eng hentikan tindakan membangkitkan isu remeh-temeh ini,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.