Edar Buku Hasutan, Isteri Zunar Ditahan Polis

Putrajaya – Isteri pelukis karikatur Zunar dan dua lagi rakannya ditahan di hadapan bangunan Istana Kehakiman, kerana dipercayai mengedar buku dan kad yang mengandungi unsur hasutan kepada orang ramai.

Polis yang mengawal di Istana Kehakiman sejak pagi tadi, menyedari aktiviti wanita itu kira-kira jam 6.45 petang dan bertindak menahannya.

Wanita itu dan dua rakannya kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya untuk disoal siasat.

Menurut Naib Presiden PKR,  Shamsul Iskandar Md Akin, pihaknya masih tidak mendapat maklumat lanjut berkenaan penahanan itu.

“Kita pun tak tahu. Katanya ada barang dalam motor kemungkinan dokumen ataupun buku. Jadi barang itu dirampas dan orang yang bawa ditahan.

“Saya yakin mungkin itu kartun Zunar. Mungkin dia jadi sasaran sebab pakaian hakim tadi petang,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui sebentar tadi.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar pagi tadi dilihat tampil dengan kostum hakim lengkap dan membawa tulisan ‘Hakim Negara Kartun’.

Tindakannya itu menarik perhatian penyokong Anwar dan pihak media.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihak polis dinasihatkan memaklumkan kepada pihaknya sebelum membuat sebarang tangkapan.

“Saya nasihatkan pada polis jangan lakukan provokasi. Macam tadi saya tanya pegawai apa kesalahannya, dia pun tak tahu. Jadi tak bolehlah buat begitu kerana kita kawal keadaan, jangan mulakan tangkapan.

“Dalam pertemuan dengan OCPD (Ketua Polis Daerah Putrajaya) kita dah janji bahawa perhimpunan ini akan berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi dan kita nasihatkan juga pada OCPD supaya kalau nak buat sebarang tangkapan, beri maklumat kepada kita. Bukan minta izin tapi maklum,” katanya.

Namun beliau tidak menafikan karya Zunar yang dijual di pekarangan mahkamah itu ada yang diharamkan.

“Mungkinlah tapi kalau ada yang diharamkan dan sebagainya, mesti ada satu laporan polis dibuat. Bukan main tangkap.

“Siapa yang kena tangkap pun kita tak tahu. Jadi, ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan anggota kita.

“Kita dah ada perundingan yang baik dengan OCPD. Sampai hari ini kita sudah kekalkan disiplin anggota dan penyokong kita. Tidak ada sebarang kejadian-kejadian yang besar yang tidak boleh dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin penahanan tersebut tidak akan menjejaskan sokongan yang bakal diberikan, esok.

“Penahanan ini tidak akan sekat sokongan esok. Lebih ramai orang akan datang esok,” katanya.

Terdahulu Zunar turut dilihat mempersendakan hakim yang mengadili kes liwat II Ketua Umum PKR itu, apabila tampil melakonkan suasana dalam mahkamah.

DIa turut memakai kostum lengkap seorang hakim seperti jubah hitam, wig (rambut palsu) dan tukul mainan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.