Ahli Parlimen DAP Perlu Didakwa Mengikut Akta Hasutan

Kuala Lumpur – Tindakan ahli parlimen DAP-Sibu, Ocsar Ling berhubung sekolah agama yang disifatkan turut memainkan peranan dalam isu pemisah kaum di negara ini terus mendapat bantahan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat.

Terbaru Ahli Dewan Negara, Senator Shahanim Mohamad Yusoff menyifatkan kenyataan tersebut sebagai biadap dan buta sejarah.

“Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling perlu menarik balik kenyataan biadabnya mengenai sekolah agama yang menjadi punca pemisahan kaum di negara ini.

“Kenyataan itu hanya menunjukkan sikap rasis, buta sejarah dan kedangkalan beliau terhadap sensitiviti agama Islam yang menjadi agama rasmi negara” ujarnya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Menurut Shahanim penubuhan sekolah agama merupakan antara sebahagian daripada pengisian terhadap Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu apabila Malaysia ditubuhkan.

“Sejarah telah membuktikan sekolah agama tidak melahirkan insan yang rasis sebaliknya pelajar sekolah agama diajar tentang menghormati orang lain, menjadi insan lebih baik, tidak mengajar tentang perkauman dan juga membenci orang lain.

“Atas sebab itu jugalah, Oscar Ling boleh memenangi kerusi Parlimen Sibu kerana orang Islam turut mengundi beliau dalam pilihan raya umum lalu” ujarnya lagi.

Shahanim turut mendesak agar Oscar menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada umat Islam di negara ini.

Sementara itu dua orang pemimpin Umno pada Rabu mahu Oscar didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menyamakan sekolah agama dengan sekolah vernakular Cina.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Jamawi Jaafar tindakan perlu diambil memandangkan ia perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mampu menimbulkan keresahan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“DAP memang tidak pernah sunyi daripada membangkitkan isu, termasuk isu sensitif yang menyentuh agama, bangsa dan negara. Tindakan sebegini adalah tidak sihat kepada landskap politik negara.

“Provokasi seperti ini sebenarnya mempunyai matlamat tertentu iaitu untuk meraih sokongan satu komuniti kepada DAP dan juga percubaan untuk mencetuskan polemik di kalangan orang Melayu,” katanya kepada Bernama di sini.

Jamawi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ling di lobi Parlimen semalam yang dilapor sebagai berkata bahawa tindakan sesetengah pihak memburuk-burukkan sekolah vernakular dengan menyatakan ia bersifat perkauman, perkara yang sama juga boleh dikenakan kepada sekolah agama.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata tindakan Ling itu satu percubaan untuk mencetuskan ketegangan agama, selain mencabar kredibiliti dan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dia (Ling) sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam dan perbuatan itu ternyata berniat jahat. DAP sentiasa mencetuskan keresahan di kalangan masyarakat, ternyata parti itu bersifat rasis dan anti kepada kedudukan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia,” katanya.

Syed Ali, yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras, mengingatkan mana-mana pemimpin politik pembangkang supaya tidak berterusan mencetuskan isu sensitif melibatkan kepentingan kaum dan agama.

“Dalam kes wakil rakyat DAP Sibu yang biadap ini, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ia jelas berbaur hasutan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.