3 Sekawan Termasuk Pasangan Suami Isteri Hadapi Pertuduhan Mengedar Dadah

Kota Bharu – Pasangan suami isteri dan seorang rakan mereka pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methampetamine seberat 190 gram, bulan lepas.

Tertuduh Mohd Azwan Shahrul Aman Azam, 22; isterinya Nurul Aimie Mohamad, 23; dan Wan Ibrahim Wan Setapa, 51; hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan itu mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methampetamine seberat 190 gram di sebuah rumah di Jalan Perol Kampung Padang Mengkali, Peringat, di sini pada 11.45 pagi, 25 Oktober lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Nik Habri menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.