10 Jalan Utama Ditutup Sempena Persandingan TMJ

Johor Bahru – Bersempena Istiadat Persandingan Mempelai Diraja, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che Puan Khaleeda, sebanyak 10 jalan utama bakal ditutup.

Majlis persandingan diraja itu akan diadakan di Istana Besar, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, penutupan jalan itu bertujuan memastikan majlis bersejarah berkenaan berjalan lancar.

“Jalan akan ditutup bermula jam 5 petang sehingga tengah malam itu, di persimpangan Jalan Tun Razak-Pantai Lido, susur Jalan Tun Razak-Pantai Lido, Lebuh Raya Pantai-Pantai Lido, lampu isyarat Country Garden, lampu isyarat Hotel M-Suites, Jalan Thompson-Jalan Skudai Pantai Lido, Jalan Abu Bakar-Jalan Skudai Pantai Lido, Jalan Gertak Merah-Jalan Skudai Pantai Lido, persimpangan Tun Sri Lanang (Bangunan Lot 1)-Lampu Isyarat Gertak Merah dan Jalan Molek-Lampu Isyarat Jalan Gertak Merah.

“Orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif ke pusat bandar, iaitu Jalan Kolam Ayer, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Lingkaran Dalam/ Susur Jalan Mahmoodiah, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gertak Merah-Pusingan U ke Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Datin Halimah,” katanya.

Dia turut menasihatkan orang ramai yang mahu ke Hospital Sultanah Aminah supaya menggunakan Jalan Mahmoodiah.

“Bazar Karat yang diadakan di Jalan Wong Ah Fook juga akan ditutup pada hari itu,” katanya dalam satu sidang media.

Sulaiman berkata, seramai 936 anggota dan 36 pegawai polis akan ditugaskan sepanjang istiadat itu, termasuk mengiring, mengawal lalu lintas dan juga menjaga keselamatan.

“Mereka yang dijemput ke majlis itu dinasihatkan tiba lebih awal, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, manakala orang ramai pula dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan polis,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, orang ramai berpeluang melihat pasangan diraja itu menaiki kereta tidak berbumbung dari Istana Bukit Serene ke Istana Besar, yang dijangka bermula pada jam 7.30 malam.

“Mereka boleh berhimpun di jalan sepanjang tiga kilometer itu dan menyaksikan perjalanan majlis menerusi skrin besar di Dataran Bandaraya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.