PELANGAI: Seramai 175 orang anak muda sekitar DUN Pelangai menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, malam ini.
Menurut Wan Rosdy, penyertaan ini jelas membuktikan bahawa anak-anak muda di DUN Pelangai telah menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Barisan Nasional.
“Terima kasih anak muda Pelangai yang terus memberi kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
“Alhamdulillah, dalam program bertemu Pemuda, malam ini, saya telah menerima 175 borang Ahli Baru Pemuda UMNO meliputi kawasan Kampung Hayat, Chemomoi, Kemahal, Simpang Pelangai, Kampung Shafie, Manchis dan Lembah Jaya.
“Penyertaan ini jelas membuktikan bahawa anak-anak muda di DUN Pelangai telah menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Barisan Nasional yang jelas terbukti membawa agenda perjuangan rakyat dari dahulu, kini dan selamanya”, katanya.
Ujar Wan Rosdy lagi, mereka juga turut menolak politik sempit dan fitnah jahat yang boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.
“Saya berharap dengan sokongan ini, lebih ramai anak-anak muda akan terus bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional demi kestabilan dan kesejahteraan bersama”, ujarnya.