MyVi Dipandu Laju Sebabkan Kemalangan, Polis Minta Saksi Tampil Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR – Satu rakaman menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu laju sehingga terbabit dalam kemalangan tular di laman sosial dan mendapat kecaman netizen.

Kejadian dikatakan berlaku pukul 5.58 petang pada Rabu lalu di Lebuhraya Kesas membabitkan tiga kenderaan lain.

Berdasarkan rakaman yang diambil menerusi video dashcam, kereta Myvi warna biru itu dipandu dengan laju di lorong kiri dipercayai berlumba dengan sebuah lagi kereta di belakangnya.

Bagaimanapun, pemandu Myvi berkenaan gagal menganggarkan jarak selamat bagi untuk memotong sebuah lagi Perodua Myvi berwarna hitam menyebabkan berlakunya pergeselan dan Myvi biru itu hilang kawalan.

Turut kelihatan dalam rakaman itu sebuah kereta Honda City yang turut dirempuh di bahagian kanan sebelum Myvi itu kemudiannya berpusing beberapa kali dan tersadai di bahu jalan.

Kemalangan itu menyebabkan bahagian depan kiri Myvi biru itu remuk teruk, tayar tercabut dan perlahan-lahan menggelongsor ke bahu jalan mengikut tuannya.

Manakala dua lagi kereta yang tidak bersalah itu rosak remuk di bahagian kanan.

Difahamkan, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.

Namun netizen mengecam tindakan pemandu Myvi biru yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan pada kelajuan 90/kmj.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shariat dalam satu kenyataan berkata, dua kenderaan lain yang terbabit ialah Honda City dan Perodua Myvi berwarna hitam.

“Siasatan polis mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Perodua Myvi berwarna biru iaitu lelaki berusia 20 tahun yang gagal mengawal kenderaan akibat memandu melebihi had laju dibenarkan dan gagal memotong kereta Perodua Myvi berwarna hitam.

“Kereta berwarna biru itu kemudiannya melanggar Honda City di lebuh raya berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu ketiga-tiga kenderaan yang terbabit dengan kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah beliau, polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan termasuk individu yang merakam kejadian itu agar tampil melengkapkan siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.