Aliran Keluar Dana Pelaburan Asing Cecah RM581 Juta Minggu Lalu

KUALA LUMPUR – Dana asing kekal menerajui jualan bersih dalam pasaran ekuiti tempatan, dengan mencatatkan aliran keluar bernilai RM581.1 juta bagi tempoh 30 Sept sehingga 3 Okt, berikutan pelabur terkesan dengan peningkatan kemungkinan berlaku kemelesetan di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata nilai itu lebih tinggi berbanding jualan dana asing pada minggu sebelumnya bernilai RM13.6 juta bagi tempoh 23-26 Sept.

“Angka ekonomi AS yang lemah seperti ditunjukkan dalam indeks ISM bagi sektor pembuatan yang jatuh kepada 47.8 mata pada September daripada 49.1 mata pada bulan sebelumnya telah mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kemelesetan akan berlaku di AS.

“Ini telah meningkatkan permintaan terhadap aset selamat seperti sekuriti Perbendaharaan AS yang menyaksikan penyusutan ketara kepada 1.52 peratus daripada melebihi 1.6 peratus sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kebimbangan itu telah menyebabkan pelabur asing mengambil pendekatan berhati-hati dalam pasaran global dengan enggan mengambil risiko, yang telah memberikan kesan serius terhadap pasaran ekuiti Malaysia.

Afzanizam berkata purata penyertaan asing di Bursa Malaysia merosot kepada 26.43 peratus pada minggu ini berbanding 29.57 peratus dicatatkan bagi tempoh 23-26 Sept.

“Minggu depan, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berikutan pasaran sedang menunggu hasil perbincangan perdagangan antara AS dan China,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata Bursa Malaysia dijangka menyusut pada minggu depan, dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) mungkin turun ke paras 1,540, tertekan oleh kebimbangan terhadap kelembapan global, penyusutan ringgit berbanding dolar US dan kemelesetan.

Beliau berkata data pembuatan AS yang kurang memberangsangkan baru-baru ini mencadangkan ekonomi global akan terus perlahan disebabkan oleh ketegangan perdagangan yang berlarutan.

Bagaimanapun, penanda aras tempatan yang lemah sepatutnya tidak berterusan dan akan berhenti seketika untuk bernafas menjelang pembentangan Belanjawan 2020 minggu depan.

“Pembentangan belanjawan fiskal dirumuskan di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan akan menjadi pemangkin positif bagi pasaran tempatan, titik perubahan untuk kerajaan memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap pasaran kewangan.

“Selain ketidaktentuan yang semakin meningkat dan potensi berlakunya kelembapan ekonomi global yang semakin buruk, belanjawan tambahan dijangkakan tanpa mempertaruhkan penyatuan fiskal,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.