VIDEO: Tak Apa Jika MCA Mahu Keluar BN, Cari Parti Lain Sahaja – KJ

AMPANG – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata sekiranya MCA tidak berminat untuk kekal sebagai komponen Barisan Nasional (BN), maka parti tersebut boleh meninggalkan gabungan politik itu.

Beliau berkata BN boleh mencari parti lain yang berminat untuk bekerjasama dengannya.

“Jika anda (MCA) tidak berminat untuk bersama kami, terima kasih dan selamat tinggal, kami akan mencari parti lain.

“Sekiranya anda (MCA) ingin bekerjasama, kita boleh duduk bersama, kita kukuhkan BN bersama-sama,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis pembukaan sebuah gimnasium untuk kanak-kanak ‘We Rock The Spectrum’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ketua MCA Kluang, Gan Ping Sieu semalam yang mempertikaikan kerjasama MCA dan PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Balakong yang didakwa bertentangan dengan pendirian BN.

“MCA tidak perlu berkempen untuk PAS dan PAS pun tidak perlu berkempen untuk kita. Kesilapan besar yang dilakukan ini menyebabkan komuniti Cina tidak memaafkan MCA,” katanya seperti dilaporkan media.

“Referendum atau pungutan suara diperlukan bagi memutuskan sama ada MCA perlu keluar daripada BN untuk mengukuhkan parti berdasarkan prinsip tersendiri,” katanya.

Khairy berkata, bagi beliau sudah tiba masanya BN mencari parti komponen berasaskan komuniti Cina yang lain.

Ini kerana katanya, MCA sudah tidak popular setelah berjaya memenangi hanya satu kerusi dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Mereka (MCA) tidak dapat memulihkan keadaan itu.

“Mungkin juga sudah tiba masanya kita melihat sekeliling sama ada ada orang lain yang mahu datang, terutama dalam kalangan komuniti orang Cina,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy menggesa MCA menumpukan usaha menguatkan parti mereka terlebih dahulu terutama dalam menghadapi pilihan raya akan datang, bukannya menuding jari kepada parti lain dalam BN, termasuk Umno. -FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.