Tun M: Panjat Rumah Orang Cari Dosa Bukan Ajaran Islam

KUALA LUMPUR – Islam tidak mengajar penganutnya untuk menceroboh ruang peribadi orang lain atas nama mencegah maksiat, demikian pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Islam tak suruh kita pergi cari (dosa) orang, nak cari salah saja, tak suruh.

“Sampai nak panjat masuk dalam rumah orang apa semua, itu bukan Islam,” katanya selepas menyampaikan ucapan di suatu persidangan di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa awal hari ini, membayangkan pendapat yang senada dengan menteri berkenaan.

Mujahid dalam wawancara bersama The Star, membayangkan bahawa tiada lagi operasi serbuan oleh pihak berkuasa agama bagi menyiasat laporan khalwat atau maksiat lain yang dilakukan secara tertutup.

Ini kerana jelas Mujahid, apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan urusan kerajaan.

Menurut Mujahid, perkara yang menjadi kebimbangannya adalah sesuatu yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah. 

“Hanya itu yang kerajaan terlibat, bukan kerana kita mahu menjadi ‘polis moral’ tetapi kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” petik kata Mujahid dalam temubual eksklusif bersama akhbar berbahasa Inggeris itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.