Saya Belum Terima Lagi Writ Saman – Mas Ermieyati

ALOR GAJAH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, hari ini, mengesahkan beliau belum menerima apa-apa writ saman daripada mana-mana pihak.

Jawapan daripada bekas Ketua Puteri UMNO itu sekali gus menafikan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan writ saman sudah dihantar kepada Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti, pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, akhir bulan lalu.

Mas Ermieyati berkata, biar apapun yang terjadi, beliau selesa untuk bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas pada masa ini.

“Tidak, setakat hari ini saya belum terima lagi (writ saman) yang dimaksudkan itu,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 peringkat Parlimen Masjid Tanah, di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, Paya Rumput, di sini, hari ini.

Seramai 136 pelajar lulusan PT3, SPM, STPM dan STAM di Parlimen Masjid Tanah, menerima insentif wang tunai dan sijil yang disampaikan beliau dan penceramah motivasi Syamsul Debat.

Mas Ermieyati juga enggan mengulas mengenai desakan ahli UMNO supaya beliau mengosongkan kerusi dimenangi, selain dakwaan dirinya sebagai pengkhianat.

Beliau berkata, tugas utamanya ketika ini adalah untuk menjaga kebajikan dan kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya tidak pernah lari dan masih bertemu pengundi saya di Masjid Tanah. Malah pejabat saya sentiasa terbuka dan mereka tahu mana hendak cari saya. Gelaran Bebas ini tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Ditanya mengenai sebarang bentuk lamaran atau kerjasama politik daripada parti politik lain, Mas Ermieyati enggan untuk mengulas lanjut.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu turut menafikan yang dirinya menjadi punca pemimpin UMNO lain bertindak keluar parti. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.