VIDEO: Mufti Pahang: Pandangan Mujahid Bercanggah Dengan Hadis

Oleh: Shuhaniza Said

SHAH ALAM – Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini berkenaan isu khalwat, merupakan satu pandangan yang bertentangan dengan hadis.

Menurut beliau, mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab setiap orang Islam sebagaimana hadis Rasullah, apatah lagi apabila ia didasari dengan bukti.

“Sebagai orang Islam, jika nampak perkara yang mungkar sebagaimana hadis Rasullullah, maka hendaklah dicegah dengan tangannya.

“Penguatkuasa ni bukan pergi buat serbuan tanpa sebab. Kalau ceroboh memang tak boleh, tetapi bila ada laporan, dia pergi kerana itu tugas dia..

“Mencegah kalau tak mampu dengan tangan, kena nasihat. Kadang dia pergi (serbuan) bukan untuk tangkap tapi beri nasihat. Kalau tak mampu juga, marah dalam hati, yang mana itu selemah-lemah iman.

“Sebagaimana hadis Rasulullah, hendaklah kamu jadi sebahagian orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.. maknanya kalau kita kata tak boleh sekat perkara mungkar, ia bercanggah. Boleh terpesong akidah kita.. kecuali ada sebab-sebab tertentu,” katanya kepada SuaraTv.

Mujahid baru-baru ini berkata tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Ini kerana jelas Mujahid, apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan urusan kerajaan.

“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah. Hanya itu yang kerajaan terlibat, bukan kerana kita mahu menjadi ‘polis moral’ tetapi kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” petik kata Mujahid dalam temubual eksklusif bersama The Star.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Rahman berkata, Mujahid sebenarnya tidak mempunyai hak untuk memberi apa-apa arahan berkaitan penguatkuasaan membabitkan hal ehwal agama Islam.

“Yang arahkan adalah Majlis Agama Islam Negeri.

“Hal-hal agama atau arahan kepada mana-mana pihak berkuasa agama, yang ada kuasa adalah Majlis Agama Islam di bawah Tuanku Sultan. Dia (Mujahid) tak ada kuasa. Penguatkuasa tidak akan patuhi arahan dia. Bukan kuasa dia untuk beri arahan,” katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.