VIDEO: Khalwat – Perlu Buat Serbuan Jika Ada Bukti, Kata Fathul Bari

SHAH ALAM – Serbuan tetap perlu dilakukan sekiranya terdapat laporan serta bukti mengenai kegiatan khalwat atau maksiat, demikian pandangan pendakwah dan agamawan, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.

Ujar Fathul, sungguhpun sebuah hadis ada menyebut bahawasanya umat Islam  dilarang untuk mencari kesalahan atau keaiban orang lain, namun konteks itu perlu difahami dengan lebih teliti.

“Asasnya tak bolehlah kita mencari-cari salah orang tetapi adakah bererti kita kena sekat semua penguatkuasaan serbuan ke bilik hotel atau rumah atau tempat privasi? Adakah kita kena hentikan secara total? 

“Jawapannya, saya berpendapat bahawasanya seperti mana yang diulas semua ulama khususnya dalam konteks hari ini kita dalam mazhab Shafie, sekiranya ada petunjuk, bukti, laporan, malah hari ini ada CCTV.. ini perkembangan teknologi, maka jika ada perkara-perkara ini, kenalah ambil tindakan atau serbuan,” katanya kepada SuaraTv.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid dalam satu temubual bersama The Star dilaporkan berkata, tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Ini kerana jelas Mujahid, apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup bukan urusan kerajaan.

“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah. Hanya itu yang kerajaan terlibat, bukan kerana kita mahu menjadi ‘polis moral’ tetapi kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” petik kata Mujahid dalam temubual eksklusif bersama akhbar berbahasa Inggeris itu.

Menyentuh lebih lanjut, Fathul berkata kenyataan Mujahid tidak salah sepenuhnya namun ia dilihat ‘tidak kena’ jika kerajaan sememangnya berhasrat untuk mengharamkan terus serbuan terhadap kegiatan maksiat.

“Saya tak nak kata Mujahid ini salah total, ada benarnya, tiada serbuan tanpa asas yang kukuh.. tetapi untuk haramkan total laporan dan serbuan, pendapat saya, itu tak boleh.

“Pengawalan tetap kena ada bergantung kepada laporan.. ada laporan, bukti, kena pergi mencegah.

“Tak boleh serbuan dilakukan tanpa asas yang kukuh tetapi pada masa yang sama saya tak setuju dengan pendapat menteri dari sudut (cadang) hentikan (serbuan) secara keseluruhannya,” katanya lagi. -SuaraTv

One thought on “VIDEO: Khalwat – Perlu Buat Serbuan Jika Ada Bukti, Kata Fathul Bari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.