Wabak Sampar Di Madagascar

ANTANANARIVO, Madagascar – Orang ramai beratur panjang di hadapan farmasi tempatan sebelum subuh semalam kerana terdesak untuk membeli topeng mulut dan hidung serta ubat antibiotik bagi mencegah jangkitan wabak sampar yang menggemparkan negara Pulau Madagascar.

Madagascar dilanda wabak sampar berganda iaitu sampar bubonik dan sampar paru-paru, lapor Kosmo.

Sampar bubonik merebak kepada manusia melalui gigitan kutu pada tikus yang dijangkiti bakteria Yersinia pestis, manakala sampar paru-paru berjangkit dari manusia kepada manusia.

Sampar paru-paru boleh membunuh dengan cepat dalam tempoh 18 hingga 24 jam selepas jangkitan sekiranya pesakit tidak mendapatkan rawatan, namun penyakit itu boleh dirawat menggunakan antibiotik jika diberikan lebih awal.

Penyakit itu merebak dengan cepat sehingga mencetuskan ketakutan penduduk tempatan selepas ia meragut enam nyawa di ibu kota Madagascar, Antananarivo.

Seorang penduduk ibu kota Madagascar tersebut, Johannes Herinjatovo, 50, berkata, dia menjadi takut selepas mende­ngar berita bahawa wabak itu me­rebak dengan terlalu cepat.

“Saya telah mengunjungi enam farmasi sejak pagi ini (semalam) dan penjual membe­ritahu saya bahawa stok topeng mulut dan hidung telah habis,” katanya.

Agensi – GAMBAR mikroskop menunjukkan bakteria Yersinia pestis yang menyebabkan sampar bubonik.

Nasib isterinya, Miora Herinjatovo, 55, bagaimanapun lebih baik apabila dia diberikan satu topeng di hospital kerajaan.

“Setiap orang mencari topeng hidung dan mulut,” katanya.

Suami wanita itu kemudian membeli ubat antibiotik.

Kementerian kesihatan Madagascar mengeluarkan nasihat supaya antibiotik tidak digunakan sebagai rawatan pencegahan sampar tetapi tidak dihiraukan oleh orang ramai.

“Kami amat takut, semua kematian ini membuktikan situasi kini serius,” kata Herinjatovo.

Ketakutan orang ramai meningkat selepas Perdana Menteri Madagascar, Olivier Mahafaly Solonandrasana mengumumkan pada Sabtu lepas bahawa 24 orang telah meninggal dunia akibat wabak itu sejak akhir Ogos lalu.

Antara simptom penyakit itu termasuk demam, lemah badan, sakit perut, cirit-birit dan gangren.

Wabak sampar bubonik pernah merebak dan membunuh kira-kira 25 juta orang atau hampir seperempat penduduk Eropah ketika Zaman Perte­ngahan pada kurun ke-14 dalam pandemik yang dikenali sebagai Black Death.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.