Tempoh Tahanan Reman Dua Anggota TLDM Dilanjutkan

LUMUT — Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini melanjutkan tempoh reman selama tiga hari mulai esok ke atas dua anggota TLDM bagi kes mendatangkan kecederaan dua rakan setugas ketika di dalam Bilik Tahanan, Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini minggu lalu.

Tempoh reman empat hari kedua-dua anggota itu mulai 3 Okt lepas, berakhir hari ini.

Perintah lanjutan ke atas kedua-dua tertuduh yang masing-masing berumur 29 dan 37 tahun dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid bagi membantu siasatan mengikut seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah.

Kedua-dua tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki trak polis sebelum keluar semula kira-kira sejam kemudian.

Kedua-dua anggota itu ditahan susulan dua anggota TLDM membuat laporan polis pada 2 Okt lalu selepas mendakwa mengalami kecederaan semasa menjalani tahanan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dan kini masih ditempatkan di bilik khas di wad pembedahan lelaki, 96 Hospital Angkatan Tentera Lumut.

Kedua-dua suspek itu antara tujuh anggota yang sudah direman dengan lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan kematian dua anggota pasukan itu di bilik sama pada 29 Sept lepas.

Jumaat lalu, dua anggota TLDM iaitu LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan itu dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.