Pasukan Peguam Khas AS Bertemu Penulis ‘Koleksi Dokumen Trump’

Seorang bekas perisik British yang menyusun koleksi dokumen dengan tuduhan bahawa Russia membantu Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016, telah bertemu dengan penyiasat yang bekerja untuk peguam khas AS mengenai kes itu, kata satu sumber pada hari Khamis.

Christopher Steele, bekas operatif kanan MI6, agensi perisikan Britain, bertemu dengan wakil pasukan peguam khas Robert Mueller, “baru-baru ini,” kata sumber itu, yang enggan memberikan butiran lanjut.

Jurucakap Mueller tidak memberi respons segera ketika diminta memberi komen mengenainya.

Manakala Presiden Trump dan beberapa penyokongnya menolak koleksi dokumen itu sebagai “berita palsu,” dua sumber yang biasa dengan penyiasatan Mueller dan siasatan Jawatankuasa Perisikan Senat terhadap dakwaan campur tangan Russia dalam pilihan raya presiden itu berkata pada hari Khamis bahawa penyiasat tidak menolaknya.

Russia telah berulang kali menafikan sebarang campur tangan dalam pilihan raya presiden November lalu yang dimenangi oleh ahli perniagaan Trump, calon parti Republikan.

Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Senat, Richard Burr berkata pada Rabu bahawa panelnya telah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi Steele untuk bertemu dengannya.

“Jawatankuasa ini tidak boleh menentukan kredibiliti koleksi dokumen itu tanpa memahami perkara-perkara seperti siapa yang membayarnya dan siapa sumbernya,” kata Burr.

 

Pertemuan antara anggota pasukan (gambar) Mueller dan Steele pertama kali dilaporkan oleh CNN pada hari Khamis.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.