Mungkin Adegan ‘Cium’ Itu Akan Dipotong Kata Fattah

Aktor Fattah Amin berkata mungkin adegan ‘cium’ dia dan Janna Nick ketika penggambaran drama bersiri Coffee Prince akan dipotong atau tidak ditayangkan.
 
Fattah memberitahu apa sahaja kemungkinan akan berlaku kerana drama bersiri itu belum lagi selesai penggambaran.
 
“Sebenarnya orang yang patut menjawab semua ini adalah pengarahnya, Michael Ang dan saya rasa dia pun sudah menjelaskan segala-galanya.
 
“Ia di luar jangkaan kami apabila tiba-tiba foto ketika penggambaran kami tersebar.
 
“Yelah, jika hendak diikutkan sebenarnya ia tidak boleh didedahkan sebelum ditayangkan kepada umum.
 
“Namun jangan salah faham, tiada adegan bercium pun di antara kami. Cuma mungkin kelihatan seperti sedang bercium.
 

“Siapa tahu, mungkin juga adegan itu akan dipotong? Lagipun ia belum dihantar ke Astro atau melalui proses penapisan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF),” katanya, lapor Gempak.
 
Terdahulu, pelakon Fara Mendoza telah memuat naik video adegan pasangan itu ‘bercium’ di laman Instagram.
 
Video tersebut menjadi tular dan mendapat kecaman netizen yang merasakan ia tidak sesuai untuk tontonan umum.
 
Sementara itu, Fattah memberitahu dia tidak terkesan dengan apa yang berlaku kerana keluarganya sentiasa bersamanya.
 
“Alhamdulilah, keluarga saya amat memahami kerja saya dan mereka percaya apa sahaja yang saya buat.
 
“Mereka lebih mempercayai saya daripada orang luar.
 
“Jadi saya tidak ada rasa bimbang mengenainya,” katanya lagi
 
Selain Fattah dan Janna, Coffee Prince turut menampilkan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Fahrin Ahmad, Sharifah Sakinah dan Sharifah Shahira.
 
Coffee Prince arahan Michael Ang dijangka ditayangkan di Astro Ria pada November depan.
 
Versi asal Coffee Prince dilakonkan oleh Gong Yoo, Yoon Eun-hye, Lee Sun-kyun dan Chae Jung-an.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.