Kumpulan Nasyid Brothers Saman Penganjur Konsert 3 Kejora Bersatu

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid Brothers memfailkan saman terhadap penganjur Konsert 3 Kejora Bersatu iaitu Kay Event Services & Management yang didakwa gagal menjelaskan bayaran tertunggak RM37,500 kepada mereka.

Menurut anggota kumpulan itu, Yasin Sulaiman, saman yang difailkan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 18 September lalu dibuat selepas mereka gagal mendapat penjelasan pihak terbabit berhubung soal pembayaran yang berbaki hingga ke hari ini.

“Sebelum ini, setiap kali ditanyakan soal bayaran, ada saja alasan diberikan. Kami hanya menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM12,500 walaupun mengikut perjanjian asal, Brothers sepatutnya dibayar RM25,000 dengan jumlah keseluruhan RM50,000.

“Kali terakhir kami berkomunikasi adalah kira-kira dua bulan lalu dan selepas itu, pihak berkenaan gagal dihubungi.

“Tuntutan ini dibuat bukannya kerana mahu mengejar keuntungan, tetapi kami ingin membuka mata rakan artis, pemuzik dan semua pihak yang menjadi mangsa untuk mengambil tindakan sama demi menuntut hak masing-masing,” katanya pada sidang media di Istana Budaya di sini, hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri peguam mereka, Adenan Seman.

Brothers pernah menghantar notis tuntutan pada 28 Julai lalu kepada penganjur, namun menurut mereka, tiada sebarang maklum balas yang diterima.

Konsert 3 Kejora Bersatu berlangsung selama dua hari di Istana Budaya, masing-masing pada 7 dan 8 Oktober tahun lalu. Selain kumpulan berkenaan, konsert berunsur kerohanian itu turut dijayakan Rabbani dan Hijjaz. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.