Kerajaan Sasar Bantu Lepaskan 50,000 Individu Bankrap

BANGI – Kerajaan mensasarkan untuk melepaskan 50,000 golongan bankrap di negara ini menjelang akhir tahun 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sasaran itu untuk 4 golongan iaitu Orang Kelainan Upaya (OKU), orang yang meninggal dunia, penghidap penyakit kronik dan penjamin sosial.

“Tahun lepas, kita sasar untuk lepaskan 10,000 daripada status bankrap dan RM1.2 juta sudah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Untuk tujuan tersebut, seramai 65 orang pekerja sambilan diambil untuk tujuan pentadbiran pelepasan kebankrapan tersebut,” katanya pada sidang media di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

29 Mac lalu, Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 yang me­rangkumi 8 perubahan dasar selepas dibahaskan.

Semasa membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali ke-2, Azalina berkata, kerajaan mempertimbangkan 8 perubahan dasar untuk meminda akta itu.

Katanya, 8 dasar itu ialah tindakan kebankrapan tidak boleh diambil terhadap penjamin sosial, me­­naikkan nilai minimum kebankrapan dan seseorang yang bankrap boleh dilepaskan awal daripada status kebankrapan selepas tempoh 3 tahun dari tarikh pemfailan Penyata Hal Ehwal (PHE).

Mengulas lanjut Azalina berkata langkah progresif tersebut terpaksa diambil berikutan bilangan golongan bankrap yang semakin kronik, terutama golongan berumur bawah 40 tahun di negara ini yang boleh membawa implikasi negatif kepada ekonomi negara.

“Berdasarkan kepada statistik Jabatan Insolvensi dari 2013 hingga Ogos 2017, seramai 23,036 bankrap adalah berusia di antara 25 hingga 34 tahun manakala seramai 1,109 bankrap berumur 25 tahun ke bawah.

“Justeru kerajaan berharap mekanisma penyelamat ini dapat mencegah golongan muda dari dijatuhkan bankrap dengan mudah,” katanya. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.