Jet Rusia Bunuh 60 Penduduk Awam Syria

AMMAN – Jet tentera yang dipercayai milik Rusia membunuh sekurang-kurangnya 60 orang awam yang mahu me­larikan diri daripada pertempuran di wilayah Syria yang kaya dengan minyak, Deir al Zor.

Jet-jet berkenaan menyasarkan bot-bot buatan sendiri yang membawa berpuluh-puluh keluarga ketika mereka cuba menyeberangi Sungai Euphrates untuk melarikan diri dari bandar al-Ashara, lapor Kosmo.

Kubu kuat terakhir kumpulan militan Daesh, bandar-bandar dan ladang-ladang di sepanjang sungai Euphrates yang bersempadan dengan Iraq menjadi fokus perang saudara Syria yang telah berlangsung selama enam tahun.

“Jet-jet Rusia melancarkan serangan kedua ke atas bot-bot yang melarikan diri di sepanjang sungai itu menyebabkan lebih banyak korban dalam kalangan mereka yang bergegas mahu menyelamatkan mangsa terdahulu,” kata seorang tokoh puak, Abdullah al Akaidat dari al-Ashara, utara Syria.

Rusia melakukan serangan di sebalik kempen tentera Syria bagi mengambil alih wilayah yang bersempadan dengan Iraq dan bersaing dengan tentera disokong Amerika Syarikat (AS) bagi merampas wilayah itu daripada Daesh.

Jet gabungan AS tahun lalu memusnahkan jambatan yang menghubungkan kampung-kampung di Sungai Euphrates dengan bandar-bandar di tebing bertentangan.

Walaupun matlamatnya untuk menyekat laluan militan, ia memaksa orang awam menggunakan feri untuk menyeberangi sungai kerana terputus hubungan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.